Tuesday, 25 December 2018

Kia Ora : Part 3

Taupo - Tongariro - Hamilton
Selepas mendaftar keluar dari hotel kami menginap di Taupo, terdapat cuma satu malam sahaja lagi untuk kami gunakan sebaik mungkin sebelum pulang ke Malaysia. Kami mempunyai 2 pilihan tempat untuk dikunjungi iaitu; Tongariro National Park ataupun Waitomo Caves. Kedua-duanya mempunyai jarak perjalanan yang lebih kurang sama iaitu dalam 1 jam 30 minit perjalanan, namun kedua-duanya berada di lokasi yang berbeza.

McD Taupo. Unik. Top 10 coolest McD in the world!
Memang love sangat Taupo. 
Kami memilih untuk ke Tongariro. Pada awalnya penulis berasa berbelah bahagi kerana tidak pasti adakah ini pilihan yang tepat. Namun sebaik melihat keindahannya, kami berasa sangat teruja dan berpuas hati. Pemandangan yang sangat cantik di sepanjang jalan membuatkan penulis terlupa perjalanan jauh yang telah kami harungi sebelum ini.

Tongariro. Jauh tapi berbaloi.
Walaupun kami sekadar menikmati pemandangan di sekitar Tongariro dan tidak masuk ke National Park yang dikhabarkan tersangat cantik, itu pun sudah memadai bagi penulis kerana pengalaman dapat melihat sendiri 3 buah gunung iaitu Mt. Ruapehu, Mt. Ngauruhoe dan juga Mt. Tongariro itu sendiri.

Tiada yang tidak cantik di New Zealand.
Hari terakhir kami menetap di Hamilton. Perjalanan memakan masa 3 jam dari Tongariro. Dalam perjalanan ke Hamilton, kami sempat berhenti di Otorohanga untuk mencari cenderahati yang menarik. Namun rezeki tidak berpihak kepada kami kerana kebetulan hari itu merupakan cuti umum (Anzac Day). Jadi semua kedai di sekitar Kiwiana boleh dikatakan bercuti juga.
Anglesea Motel, Hamilton. Lengkap dengan jakuzi.
Untuk info, terdapat 2 jenis stesen minyak di New Zealand. Di bandar biasanya terdapat penjaga stesen minyak (tunai dan kad) yang akan membantu kita namun di kawasan luar bandar stesen minyaknya tiada pekerja. Jadi semuanya layan diri dan menggunakan kad sahaja (tiada tunai). Harga minyak di setiap kawasan juga berbeza-beza. Jadi pastikan kad anda diaktifkan jika ke sini.  


Stesen minyak layan diri. 

Selama hampir seminggu di sini, boleh dikatakan hampir setiap hari kami memasak di rumah penginapan dan boleh dikatakan hanya 2 atau 3 kali sahaja kami makan di luar. Ini disebabkan harga makanan yang sememangnya agak mahal. 

Antara menu harian kami sekeluarga.
Sumber tenaga penulis sepanjang perjalanan di sini. Murah & kenyang!
Tidak dinafikan New Zealand merupakan antara negara yang tercantik di dunia. Bahkan ada yang menggelarkannya 'syurga dunia'. Apa yang telah penulis ceritakan hanyalah sedikit cebisan dari kehebatan dan keindahan negara ini. Penduduk tempatan di sini pernah memberitahu penulis; untuk melihat keindahan New Zealand, sekurang-kurangnya masa yang perlu diperuntukkan adalah 2 minggu.

Bagi penulis secara peribadi, setiap tempat di sini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Tidak kisahlah sama ada tempat itu dikenali ataupun tidak, asalkan ia di New Zealand; ia istimewa. 

Thursday, 2 August 2018

Kia Ora : Part 2

Waihi - Rotorua
Selepas selesai aktiviti kami di Waihi, kami meneruskan perjalanan ke lokasi yang seterusnya iaitu Agrodome. Agrodome merupakan lokasi yang wajib dikunjungi jika anda ke North Island. 

Agrodome
Agrodome merupakan ladang biri-biri (mini zoo pun boleh juga) yang paling terkenal di New Zealand. Terletak 10 minit dari bandar Rotorua, kawasan seluas 350 ekar ini dibuka setiap hari kecuali Krismas dari jam 830 pagi sehingga 5 petang.

Ladang biri-biri yang sangat cantik & luas
Keunikan sebenar di Agrodome adalah pertunjukan biri-birinya atau lebih dikenali di sini sebagai Farm Show. Persembahan ini terhad 3 kali sahaja dalam sehari iaitu pada jam 9.30 pagi, 11.30 pagi dan juga 2.30 petang. Harga tiket untuk menyaksikan Farm Show adalah NZD36.50 (RM105) seorang. Agak mahal tetapi sangat berbaloi. 

The Farm Show. Sangat menghiburkan!

Rotorua - Taupo
Setelah selesai di Agrodome, kami meneruskan perjalanan ke Taupo. Taupo merupakan antara tempat yang paling banyak lokasi menarik untuk dikunjungi kerana lokasinya yang sangat dekat di antara satu tempat dengan satu tempat yang lain.

Kami menginap di Hotel Quest yang terletak tidak jauh dari pekan Taupo. Dimiliki oleh rakyat Malaysia, hotel ini pada pandangan penulis sangat memuaskan hati kerana lengkap dengan dapur untuk memasak serta mesin basuh dan juga pengering untuk kemudahan pelancong seperti kami.

Quest Hotel, Taupo
Kami memulakan perjalanan keesokan harinya ke Taupo Lookout Point. Di sini kami boleh menikmati pemandangan seluruh kawasan Taupo dan juga tasik yang terbesar di North Island iaitu Lake Taupo.

Pemandangan dari Taupo Lookout Point

Si debot yang tahan sejuk
Dari Taupo Lookout Point, kami meneruskan perjalanan ke Huka Falls. Tiada perkataan yang dapat digambarkan apabila melihat kecantikan alam ini. 

Huka Falls
Berdekatan dengan Huka Falls terdapat banyak tempat menarik lain yang boleh dilawati. Antaranya Huka Honey Hive dan juga Craters of The Moon.


Huka Honey Hive
Di Huka Honey Hive, anda boleh merasai sendiri keenakan & kemanisan madu secara percuma, seterusnya boleh dibeli dan dibawa pulang untuk dikongsi bersama yang tersayang.

Antara madu yang dijual di sini

Lebah comel!
Tidak jauh dari Huka Honey Hive, terdapat kawasan pelancongan unik yang diberi nama Craters of The Moon (COM). Merupakan laluan geothermal untuk pejalan kaki, COM merperlihatkan landskap yang agak pelik tetapi menarik. Ianya seolah-olah dari dunia lain di mana terdapat banyak kawah yang menggelegak serta lohong/lubang panas di sepanjang laluan. Di sini, bayaran masuk adalah sebanyak NZD8 (RM23).  


Peta COM. 45 minit berjalan kaki (gambar ihsan google)

Craters of The Moon. Sejuk & panas dalam masa yang sama
Sila patuhi arahan yang diberikan
Seterusnya nantikan sambungan pada bahagian ketiga nanti.

Saturday, 26 May 2018

Kia Ora : Part 1

Pada pertengahan April yang lalu, penulis sekeluarga berkesempatan bercuti ke New Zealand. Terletak di benua Oceania, New Zealand merupakan pulau yang terbahagi kepada 2 iaitu North dan South Island dengan populasi penduduk seramai 4.8 juta orang. Pada percutian ini kami memilih untuk ke North Island. Matawang New Zealand adalah Dollar New Zealand (NZD) dan tukaran pada ketika ini pula adalah NZD1=RM2.90.

KLIA2 – Auckland Airport
Perjalanan dari KLIA2 menuju ke Auckland mengambil masa 12 jam++ termasuk transit di Gold Coast selama 1 jam. Sesudah melepasi imigresen yang sangat ketat (sila rujuk laman web imigresen NZ berkenaan makanan/produk yang dibenarkan masuk), kami terus mencari kad sim untuk kegunaan di sini. Antara jenama yang popular adalah Vodafone, Spark & 2 degrees. Setelah membuat perbandingan, akhirnya kami memilih jenama 2 degrees (pakej 10GB=NZD 50/RM145). 

Transit di Gold Coast
Sebelum bercuti ke sini, kami telah menempah perkhidmatan kereta sewa melalui website www.rentalcars.com (ala-ala trivago tetapi versi kereta). Di sini terdapat shuttle van yang akan membawa kami dari lapangan terbang ke tempat mengambil kereta. Setibanya ke tempat mengambil kereta, kami diberitahu bahawa kereta kami (Toyota Yaris) tiada stok namun kami diberi kereta sewa lain yang lebih besar iaitu Nissan X-Trail tanpa sebarang tambahan caj dari harga asal. Perlu diingatkan bahawa baby seat merupakan perkara wajib dipasang pada kenderaan jika anda membawa bayi dan kanak-kanak sehingga berumur 7 tahun.

Innovation That Excites

Auckland Airport – Bombay Village
Perjalanan ke rumah penginapan kami yang pertama mengambil masa 40 minit. Ketika ini waktu sudah pun malam dan suhu pula agak sejuk iaitu sekitar 15°C. Waktu maghrib di sini adalah dalam jam 5.40 petang. Kami tiba di Bombay Village sekitar jam 9 malam waktu tempatan dan disambut dengan mesra oleh tuan rumah (siap ada welcome snack).

Wooden House, Bombay Village

Bukan air kosong tetapi air lemon. Terus segar.

Bombay Village – Waihi
Keesokan harinya, kami bertolak ke Waihi Beach. Dalam perjalanan kami sempat berhenti di Pukakohe Hills untuk menikmati pemandangan Bombay Village dari atas bukit. Cantik.

Pukakohe Hills
Kemudian kami singgah sebentar di Pasaraya Countdown untuk mencari keperluan asas (beras, bawang, telur dll). Memandangkan harga makanan halal di sini agak mahal, jadi memasak sendiri adalah alternatif terbaik.

Pasaraya Countdown
Setibanya kami di rumah penginapan kami yang kedua, hari telah pun malam. Jadi kami terpaksa menunda perancangan kami untuk ke pantai. Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam tidak terasa kerana pemandangan yang sangat cantik sepanjang jalan.

Thank you airbnb!

Rumah penginapan di Waihi

Di Waihi, terdapat pantai yang sangat dekat dengan rumah kami menginap iaitu Waihi Beach. Pantai yang cantik dengan cuaca yang sejuk di awal pagi menyebabkan kami tidak terasa hendak mandi pantai.

Nampak panas tapi sejuk sebenarnya.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Hobbiton yang mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. 

Anda peminat filem Hobbit?
Pemandangan di sekitar kawasan Hobbiton. Tersangat lah cantik.
Banyak masa dihabiskan di sini melihat pemandangan serta mengambil gambar. Walaupun kami tidak masuk ke set Hobbiton, tapi pemandangan sekitarnya sangat memukau mata ditambah dengan kambing biri-biri yang melengkapkan lagi suasana. Setelah puas mencuci mata, kami terus mencari kedai makanan halal untuk mengisi perut yang semakin kosong. Hasilnya kami menemui kedai ini, Mr Kebab. Dimiliki oleh rakyat Turki, harga makanan di sini boleh dikatakan berpatutan dengan hidangannya.

Apa yang istimewa di sini? Tengok nama pun dah tahu.
Mix Kebab with rice. NZD 11. Boleh makan 2 orang.
Untuk perjalanan yang seterusnya akan disambung dalam part 2 nanti. Di sini barulah bermula pengembaraan sebenar kami.