Penulis mengenali tempat ini dari seorang kenalan rapat. Dengan konsep masakan kampung, cafe ini mula dibuka secara rasmi pada Julai 2018. Walaupun agak jauh dari rumah, penulis sudah 2 kali berkunjung ke sini bukan kerana masakan kampungnya sahaja tetapi juga kerana pastrinya yang amat memukau.
Bertempat di Kampung Temiang Seremban, cafe Hayyan Huda Opah's Kitchen & Pastribella Bakeshop ini merupakan air tangan dari juara Masterchef Malaysia musim pertama, Dr Ezani bersama keluarganya.
Menu yang unik. |
Perjalanan ke sini yang mengambil masa lebih 1 jam dirasakan berbaloi sebaik sahaja penulis tiba ke restoran ini. Suasana kampung di atas bukit terasa tenang dan damai. Dikelilingi oleh hutan dan rumah-rumah kampung, cafe ini juga mempunyai tempat letak kereta yang sangat luas.
Suasana yang damai walaupun panas terik |
Mungkin ramai yang tertanya-tanya; mengapa dinamakan Hayyan Huda? Sebenarnya ia adalah gabungan nama daripada 2 orang kanak-kanak autism iaitu adik Hayyan & Huda. Mereka berdua merupakan anak kepada salah seorang pengasas cafe ini. Oleh kerana itu untuk masuk ke cafe ini anda dikehendaki membuka kasut terlebih dahulu. Selain mendapat pengalaman seperti makan di rumah, kanak-kanak juga bebas bergerak tanpa perlu risau jika terjatuh kerana lantainya sangat bersih.
Pilihan makanan di sini boleh dikatakan lebih kepada masakan lemak cili api dan juga asam pedas. Dari ikan jenahak, udang galah, daging salai, ikan sembilang atau telur itik semuanya ada. Harga juga boleh dikira agak berpatutan jika dibandingan dengan rasanya. Kuantiti yang sederhana untuk setiap hidangan membuatkan kita merasakan mungkin makanan ini tidak mencukupi tetapi sebenarnya cukup, tidak lebih dan tidak pula kurang. Terdapat juga makanan lain seperti sup ayam kampung, sambal sotong dan juga sambal ikan bilis petai yang sememangnya kegemaran penulis sejak azali lagi.
Serius sedap! |
Kopi kampung (o@susu) recommended! |
Pastribella Bakeshop by Dr Ezani pula menawarkan pelbagai jenis pastri seperti kek, muffin, biskut, tart dan bermacam-macam lagi. Harga pastri di sini pula sedikit mahal namun apabila ia merupakan air tangan juara Masterchef itu sendiri, berbaloi sangat rasanya dengan apa yang dibayar. Pilihan penulis; kesemuanya mesti dicuba.
Durian cheesecake. Padu. |
Chocolate Salted Caramel Cake. Wow! |
Dibuka hanya pada hujung minggu sahaja iaitu dari jam 11 pagi hingga 3 petang dan disambung semula pada 6 petang sehingga 11 malam menjadikan cafe ini eksklusif sehingga kerapkali kelihatan barisan beratur yang panjang menunggu giliran untuk mendapatkan meja. Di sini juga terdapat kemudahan surau untuk pelanggan yang datang.
Cafe ini adalah tempat yang pasti membuatkan anda kembali lagi, dan penulis merasakan akan ada penambahan menu baru kelak. Bagi yang pernah merasai masakan Watie's Corner ataupun cafe Aunty Aini's di Nilai, anda pasti akan dapat merasai sendiri kelainannya apabila anda berkunjung ke sini. Berbaloi.
Hayyan Huda Opah's Kitchen
Pastribella Bakeshop by Dr Ezani
23, Jalan Bukit Temiang 1,
Taman Bukit Temiang,
70200 Seremban, Negeri Sembilan