Kenapa penulis berpendapat Marquez akan memenanginya sekali lagi? Honda sangat berpuas hati dengan enjin baru mereka dan lebih fokus kepada casis serta sistem suspensi. Terdapat banyak maklum balas positif ketika di Valencia dan Jerez, jadi Marquez dapat menghabiskan lebih banyak masa mencari keserasian serta dalam masa yang sama kurang mengambil risiko.
Namun penulis juga tidak mengatakan bahawa Marquez akan memenangi banyak perlumbaan pada tahun 2019 seperti yang dilakukannya pada tahun 2018. Ini kerana dia baru sahaja pulih dari pembedahan serius di bahunya. Pembedahan ini dianggap berjaya namun Marquez sekarang berada dalam situasi pemulihan, bukan dalam mood persediaan. Dia mungkin akan cergas untuk ujian pra-musim di Sepang, tetapi tidak 100%. Mungkin Marquez juga tidak akan berada dalam keadaan terbaiknya sehingga beberapa perlumbaan nanti.
Meskipun Honda menjadi lebih baik pada tahun 2019, namun ada peningkatan juga pada semua pasukan lain. Maklum balas daripada pelumba Ducati bahawa pasukan yang berasal dari Bologna itu telah menjadikan GP19 lebih baik serta dapat mengatasi kelemahan terbesar mereka. Suzuki GSX-RR juga adalah motosikal yang jauh lebih baik dari tahun lepas dan sepatutnya cukup baik untuk menang sekarang. Terdapat sebab untuk optimis di Yamaha, dengan enjinnya bertambah baik dan kini mungkin boleh diperbaiki dengan elektronik dan sistem suspensi tetapi tumpuan sebenar adalah pada elektronik.
Jika Honda RC213V tahun 2019 lebih baik dari tahun lepas, maka Marquez mempunyai persaingan dari kedua-dua rakan Honda iaitu rakan sepasukan baru beliau Jorge Lorenzo dan juga Cal Crutchlow. Mereka berdua sepatutnya mampu menewaskannya nanti.
Adakah Marquez sudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraannya? Gambar ihsan : motogp.com |
Walaupun terdapat ketegangan antara rakan sepasukan pada 2018, kebanyakan pasukan berjaya mengawalnya. Ia bukanlah satu rahsia bahawa Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo tidak dapat mengawal perasaan masing-masing pada akhir tahun lalu tetapi untuk sebahagian besar masa mereka jarang membawa masalah antara mereka kepada pengetahuan umum. Di Yamaha pula, Maverick Vinales dan Valentino Rossi cuba membawa M1 ke arah yang berbeza tetapi mereka melakukannya di belakang, bukan di hadapan media global.
Apakah yang akan berubah untuk tahun 2019? Persoalannya, perang dingin dari pasukan manakah yang akan bermula dahulu?
Pendapat penulis; Yamaha. Vinales mempunyai beberapa komen yang kuat untuk Yamaha pada tahun 2018. Kebanyakannya ditujukan kepada krewnya dan juga Yamaha itu sendiri. Walau bagaimanapun Yamaha lebih mendengar komen Rossi berbanding Vinales. Sementara itu Rossi telah berada bersama Yamaha beberapa kali dan sepatutnnya tahu bahawa beliau perlu bekerja untuk Yamaha, bukan pada rakan sepasukannya; sesuatu yang dilakukannya dari semasa ke semasa tahun lalu.
Yamaha mempunyai pilihan pada tahun ini: sama ada untuk mendengar sepenuhnya pada Maverick Vinales sebagai petunjuk arah untuk masa hadapan atau berpegang pada pengalaman Valentino Rossi dan berharap maklum balasnya akan berfungsi untuk sesiapa sahaja yang menunggang jentera Yamaha. Ia adalah satu keputusan yang telah mereka putuskan untuk satu jangka masa yang lama dengan harapan bahawa perbezaan antara maklum balas keduanya akan selesai dengan sendirinya. Tetapi selepas cuma memenangi satu perlumbaan sahaja pada 2018 serta tersingkir awal dari gelaran juara pengeluar, mereka tidak boleh menangguhkanya lagi. Memandangkan kesabaran kedua-dua pelumba itu sudah semakin nipis, sesiapa yang tewas atau berasa seolah-olah dia telah tewas - mungkin akan dikritik, kerana menutup kesalahan tidak lagi membantu.
Perkara ini juga tidak akan menjadi lebih baik di Honda. Setelah bertahun-tahun menjadi nombor satu di dalam pasukan Repsol dan menghabiskan banyak tenaga dalam dua musim yang lalu meletakkan tekanan pada HRC untuk membentuk pasukan dan proses pembangunan ke bentuk yang diinginkan. Marc Marquez disertai oleh penunggang yang diharapkan sebagai sekurang-kurangnya sama tahap. Dani Pedrosa adalah seorang ahli pasukan yang sempurna, tidak pernah mengambil kesempatan dan sentiasa memintas percubaan untuk menjatuhkan di antara dirinya dan Marquez atau apa jua provokasi. Manakala Jorge Lorenzo pula dahulunya menyertai Yamaha tanpa persetujuan Valentino Rossi dan menghabiskan tujuh tahun berkongsi garaj dengan lelaki yang dianggap sebagai pakar permainan minda.
Marquez dan Lorenzo mempunyai banyak persamaan. Kita boleh melihat mereka sebagai dua pelumba yang paling berbakat di grid ketika ini dan kedua-duanya yakin bahawa mereka layak bergelar juara. Kedua-duanya mengharapkan untuk menjadi pemimpin serta diberi perhatian tanpa persoalan. Tetapi mereka mempunyai pendekatan yang sangat berbeza untuk perlumbaan yang telah membawa mereka untuk bertembung di dalam mahupun di luar trek. Marquez menggemari pelumbaan yang kasar dan berani mengambil risiko yang boleh membuatkan penunggang lain terjatuh dalam perlumbaan dengan jarak yang sangat hampir, sementara Lorenzo berpegang pada cara di mana pintasan hanya boleh dilakukan secara kemas dan lancar tanpa mengganggu penunggang yang dipintas.
Pada satu ketika nanti, Marquez dan Lorenzo akan bertembung juga seperti yang telah mereka lakukan pada masa lalu. Lorenzo suatu ketika dahulu menyalahkan Marquez kerana terlibat dalam kemalangan pada selekoh pertama di Aragon dan mempunyai kata-kata keras untuknya di Argentina. Dia menolak untuk bersalam dengan Marquez selepas mereka berlanggar di selekoh terakhir Jerez pada tahun 2013. Marquez pernah memberitahu secara terbuka mengenai beliau mahu mengalahkan Lorenzo dengan menggunakan jentera yang sama kerana beliau percaya Lorenzo tidak mampu bersaing dengannya.
Bagaimana ia akan berlaku nanti? Apa yang pasti, sepanjang musim ini akan menjanjikan keseronokan sama ada kepada pihak media ataupun peminat.
Mampukah Vinales mempamerkan potensi sebenar dirinya? Gambar ihsan : motogp.com |
Penulis pernah menyebut sebelum ini, Suzuki akan menjadi pesaing yang konsisten pada 2019. Selepas tewas pada 2017, perkembangan GSX-RR dibantu oleh maklum balas yang sangat baik daripada penunggang ujian Sylvain Guintoli telah membawa satu langkah besar ke hadapan. Jentera 2018 bermula dengan baik malah menjadi lebih baik apabila di pertengahan musim terutamanya apabila mereka memperkenalkan enjin baru selepas Assen. Mereka mengakhiri tahun ini dengan jumlah 9 podium, lebih daripada mencukupi.
Mereka juga mempunyai dua pelumba yang sangat berpotensi. Alex Rins memasuki musim ketiganya dan dengan pengalaman satu musim penuh perlumbaan pada 2018, tidak seperti musim pertamanya pada 2017 yang sering dibelenggu masalah kecederaan. Joan Mir mungkin seorang pelumba baru, tetapi sangat dipandang tinggi kerana potensinya. Mereka yang telah bekerja dengannya membuat perbandingan dengan Marc Marquez dari segi tumpuan, cepat belajar dan keupayaan untuk memahami apa yang berlaku dengan motosikal. Kedua-dua pelumba akan menjadi penghuni tetap podium. Kedua-dua pelumba juga mampu menang.
Pelumba berbakat besar, Joan Mir. Gambar ihsan : motogp.com |
Walaupun memenangi kejuaraan adalah matlamat utama, memenangi perlumbaan demi perlumbaan dan podium secara konsisten cukup untuk membenarkan penyertaan berterusan dalam MotoGP. Tetapi bagaimana jika kedudukan podium yang diharapkan terlalu mustahil untuk dicapai? Itulah persoalan yang akan menjejaskan minda pihak atasan di kedua-dua pasukan KTM dan Aprilia musim ini. Berapa lama mereka boleh berlumba jika kejayaan yang mereka impikan tidak kunjung tiba?
Keadaan sekarang menjadi lebih buruk buat KTM. Pol Espargaro menduduki tempat ke-17 pada ujian MotoGP Jerez pada November lalu, hampir 2 saat dari catatan terpantas tempoh hari. Itu bukan sasaran KTM setelah memasuki tahun ketiga mereka dalam MotoGP. Tetapi sejak awal, KTM telah menjelaskan bahawa ini adalah projek jangka masa panjang. Empat jentera di grid serta kehadiran Johann Zarco dalam pasukan akan membantu mempercepatkan kemajuan. Tetapi jika KTM menamatkan ujian Jerez di tempat ke-17, pelbagai soalan akan mula diajukan.
Tekanan nampak lebih besar pada Aprilia. Mereka mempunyai pelumba berpengalaman iaitu Aleix Espargaro dan kini mempunyai penunggang Itali yang mereka inginkan sejak sekian lama; Andrea Iannone. Iannone adalah pemenang perlumbaan MotoGP dan Espargaro lebih kompetitif bersama Aprilia RS-GP lebih dari sesiapa yang boleh diharapkan.
Jika Aprilia kekal terperangkap di luar kelompok 5 teratas dan KTM pula di luar 10 terbaik, maka pelbagai soalan akan ditanya. Dan apabila ditanya soalan, pelbagai andaian akan mula dibuat. 6 pengeluar dalam MotoGP mungkin dirasakan terlalu banyak. Pengeluar semuanya mempunyai kontrak dengan Dorna sehingga musim 2020. Tetapi jika sebuah pengeluar menarik diri, maka 2019 akan menjadi tahun di mana mereka akan mula memberi pertimbangan serius kepada idea itu.
Adakah Zarco membuat keputusan yang tepat memilih KTM? |
No comments:
Post a Comment