Sunday, 28 April 2019

Hokkaido Trip : Chapter 2

Furano - Asahikawa

Hari kedua, kami meneruskan perjalanan menuju ke Asahikawa. Kami berhenti sebentar di Nakafurano, di mana terletaknya sebuah ladang bunga bermusim yang dipanggil Farm Tomita. Nasib tidak menyebelahi kami kerana bersebelahan Farm Tomita iaitu Tomita Melon House tidak dibuka pula. Penulis pun tidak pasti mengapa ia ditutup. Tiada rezeki buat kami untuk merasai buah-buahan yang dikatakan antara yang paling sedap dan paling mahal di dunia iaitu Yubari King Melon.


Farm Tomita
Lavender Shop

Kemudian kami berhenti lagi di Shikisai No Oka. Terletak di Biei, ia hanya mengambil masa 30 minit perjalanan dari Furano. 

Shikisai No Oka merupakan sebuah taman bunga bermusim yang mempunyai pemandangan yang sangat menakjubkan di kawasan seluas 15 hektar. Malangnya semasa kedatangan kami, tanda-tanda sakura masih belum kelihatan disebabkan Hokkaido masih lagi dalam peralihan musim sejuk. (musim bunga di Hokkaido lewat sebulan dari musim bunga di Tokyo). Walaupun tiada bunga, namun kami masih dapat menikmati pemandangan indah berlatar belakangkan gunung-ganang yang cantik.

Belum rezeki kami untuk merasai sakura di sini
Destinasi akhir kami sebelum ke Asahikawa adalah Shirogane Blue Pond. Di sini jalannya agak licin berikutan masih terdapat salji yang masih belum mencair. Pemandangan tasik biru di sini pasti memukau sesiapa sahaja yang memandangnya. Setelah selesai berjalan-jalan di sini, kami pun terus ke rumah penginapan kami yang terletak di Asahikawa. 

Blue Pond. Menakjubkan

Salji di Blue Pond

Asahikawa - Sapporo - Otaru

Pada hari ke-3, dari Asahikawa kami menuju ke Sapporo. Tiada aktiviti yang dapat kami lakukan di Asahikawa kerana Zoo Asahiyama tidak dibuka sehingga 26 April. Perjalanan ke pusat bandar Hokkaido ini pula mengambil masa hampir 2 jam. Terdapat banyak tempat menarik di Sapporo tetapi tumpuan kami adalah pada Moerenuma Park dan Takunikoji Arcade.

Moerenuma Park
Penulis agak terkejut apabila memasuki bandar Sapporo kerana jalannya yang agak sesak dan juga banyak jalan sehala yang sedikit mengelirukan. Perlu diingatkan bahawa jika lampu isyarat membelok kiri anda bertukar hijau tetapi dalam masa yang sama lampu isyarat untuk pejalan kaki juga hijau, maka keutamaan perlu diberikan kepada pejalan kaki dahulu. Jadi jangan pula anda hon kepada kereta di hadapan anda jika mereka tidak membelok walaupun lampu telahpun hijau. 

Di Malaysia, jika lampu isyarat untuk membelok ke kanan bertukar hijau bermaksud pemandu dari jalan bertentangan anda akan berhenti, bukan? Tetapi tidak di Hokkaido (mungkin di seluruh Jepun juga). Jadi sentiasalah berhati-hati di jalan raya. Dapatkan GPS untuk kereta sewa anda dalam bahasa Inggeris kerana ianya sangat berguna nanti.

Pencarian kami ke satu-satunya restoran ramen halal di Sapporo iaitu Ramen Horyu berakhir dengan kekecewaan kerana ianya ditutup untuk pengubahsuaian dan telah berpindah ke tempat lain. Dengan caj parking yang boleh dikatakan ala-ala yahudi harganya, kami telahpun membazir masa kerana kami berjalan kaki hampir 1 kilometer dari tempat meletak kenderaan kami ke restoran ini.

Ramen Horyu. Tutup. Kecewa
Di Sapporo, Takunikoji Shopping Arcade merupakan syurga membeli-belah samada untuk pelancong asing mahupun rakyat tempatan. Dengan harga yang murah serta pelbagai pilihan barangan edisi terhad yang tiada di tempat lain, pastikan anda memperuntukkan masa yang lebih (dan juga wang lebih) jika anda seorang kaki shopping. 


Tempat menguji nafsu berbelanja, Takunikoji Arcade
Antara kedai yang terkenal di sini adalah Mega Don Quijote, ABC Mart, 2nd Street dan banyak lagi. Setelah selesai mencuci mata di sini, kami pulang ke rumah penginapan kami yang seterusnya di Otaru.

Otaru 

Hari pertama di Otaru menyaksikan kami menjelajah sekitar bandar Otaru dengan Sankaku Market menjadi tempat pertama persinggahan kami. Misi kami adalah untuk mencari makanan laut yang terkenal di sini, King Crab. Terletak berdekatan dengan Stesen Otaru, pasar ini dibuka seawal jam 7 pagi dan ditutup pada jam 5.30 petang. 

Fresh King Crab
Pencarian kami membuahkan hasil kerana terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis ketam dengan harga yang berpatutan (agak mahal sebenarnya). Harga ketam di sini tidak sama bagi setiap kedai, terpulang pada anda untuk memilih kerana harga yang ditawarkan adalah termasuk dengan harga memasak (anggaran 8000 hingga 11000 yen sekilogram). Ketika di sini, hampir kesemua kedai mencadangkan agar kami memilih 'hairy crab' berbanding dengan king crab kerana rasanya yang dikatakan lebih sedap dan isi yang lebih padat. 


Hairy Crab
Setelah puas mencari kedai yang sesuai, kami tertarik pada satu kedai yang menawarkan harga yang berpatutan dan memahami kehendak kami sebagai seorang muslim. Jadi kami memilih untuk menikmati hidangan hairy crab.

Sedap!
Kemudian kami singgah sebentar ke LeTAO. LeTAO adalah singkatan kepada huruf pertama frasa Perancis "La Tour Amitie Otaru". Jika anda seorang peminat pencuci mulut yang berasaskan keju ataupun coklat maka inilah tempat yang paling sesuai untuk anda. Sebelum anda membeli sebarang makanan di sini, pastikan anda mengenal pasti terlebih dahulu produk halal dijual di sini. Berikut merupakan produk yang halal di LeTAO. (sumber : pengurusan LeTAO)
・Parfait D'or Fromage
・Sensation
・Crème Renversée
・Doux Miel [Plain]
・Doux Miel [Chocolate]
・Otaru Rue Ironai Fromage
・THÉ NOIR
・Petit Chocolat [Strawberry]
・Petit Chocolat [Caramel hazelnut]
・Petit Chocolat [Almond & Cocoa]
・Royale Montagne

Antara yang halal di LeTao, Parfait D'or Fromage 
Paling popular di sini, Double Fromage. Malangya tidak halal.

Di akhir penjelajahan kami di bandar ini, kami ke Otaru Canal. Tempat yang menjadi tumpuan pelancong ini merupakan simbol kemegahan bandar Otaru, sesuai untuk bergambar sebgai kenang-kenangan. 

Otaru Canal
Kami terpaksa berbincang dan merancang jadual perjalanan berikutan perasaan yang berbelah bahagi kerana tidak membeli apa-apa di Sapporo. Alang-alang sudah sampai ke Jepun, paling tidak pun sekurang-kurangnya satu barang sudah mencukupi sebagai kenangan buat kami. Adakah kami akan kembali ke Sapporo semula ataupun meneruskan perjalanan kami seperti yang dirancangkan iaitu ke Shakotan dan seterusnya Niseko? Sama-sama kita nantikan di bahagian yang lain pula.

Thursday, 25 April 2019

Hokkaido Trip : Chapter 1

Siapa yang tidak mengenali negara Jepun? Negara yang cukup hebat dari segi budaya, teknologi dan juga keindahan alam semulajadinya. Penulis memilih untuk ke negara matahari terbit ini kerana ingin merasai sendiri bagaimana cara hidup masyarakat serta menikmati panorama alamnya yang dikatakan setanding dengan New Zealand. Jadi penulis sekeluarga memilih untuk ke Hokkaido.

Hokkaido merupakan pulau kedua terbesar di Jepun. Terletak di bahagian paling utara Jepun, bandar terbesar di Hokkaido adalah pusat bandarnya iaitu Sapporo. Ketika penulis ke Jepun kali ini, tukaran matawang adalah 100 yen = RM 3.70.

Penerbangan dari KLIA2 ke New Chitose Airport mengambil masa hampir 8 jam. Perlu diingatkan, sistem jaringan pengangkutan awam di Hokkaido agak terhad dan tidaklah seperti bandar besar Jepun yang lain seperti Tokyo mahupun Osaka. Jadi penulis telah menyewa kereta di sini memandangkan hanya bandar-bandar utama Hokkaido sahaja (Sapporo, Chitose, Otaru) yang mempunyai pengangkutan awam yang mudah. Untuk memandu di Jepun, anda perlu mempunyai lesen memandu antarabangsa. Lesen ini boleh dipohon melalui mana-mana cawangan JPJ seluruh Malaysia.

Lesen Memandu Antarabangsa
New Chitose Airport - Furano

Sesudah melepasi kastam dan imigresen, kami terus mencari kiosk tempat menyewa kereta kami. Sebelum ke Jepun, penulis telah menempah kereta melalui website tabirai.net (ala-ala trivago versi kereta juga). Dari kiosk berkenaan, kami perlu menaiki bas perantara yang akan membawa kami ke tempat mengambil kereta. Perjalanan memakan masa kira-kira 10 minit sahaja dari lapangan terbang. 


Pilihan kami, Nippon Rent-A-Car

Pada mulanya, kami memilih untuk menyewa sebuah Honda Fit (Jazz) Hybrid, namun disebabkan tiada stok maka kami diberi sebuah kereta Nissan Note Hybrid. Memandangkan isteri penulis seorang peminat Honda, maka beliau mahukan juga kereta Honda seperti yang ditempah sebelum ini. Jika diikutkan harga sewaan untuk Nissan Note adalah sedikit murah dan dari segi rupa juga, jujurnya penulis lebih berminat kepada Honda Fit. Akhirnya pekerja di situ berusaha juga untuk memenuhi permintaan kami. 

Kereta kami dilengkapi ETC (smart tag) dengan harga 324 yen (RM12) dan juga Pass Hokkaido Expressway (kad TnG) selama 7 hari dengan harga 7700 yen (RM285). Jadi kami bebas memandu mana-mana lebuhraya di Hokkaido selama 7 hari jika kami menggunakan pas tersebut. Pastikan juga anda mendapatkan insurans premium jika memandu di sini kerana malang itu tidak berbau bukan? 


Honda Fit Hybrid. Jimat minyak
Pengembaraan kami diteruskan ke lokasi pertama iaitu Ningle Terrace. Terletak di Furano, perjalanan megambil masa kira-kira 2 jam. Suhu pada ketika ini adalah sekitar 7°C. Undang-undang jalan raya di Jepun tidak jauh berbeza dengan negara kita, cuma ada sedikit sahaja perbezaan yang akan membuatkan kita keliru pada permulaannya.

Ningle Terrace terletak betul-betul di bawah New Furano Prince Hotel. Hampir kesemuanya di Ningle Terrace diperbuat dengan menggunakan bahan semulajadi dengan bangunan kayu dan juga laluan pejalan kaki yang indah di celah-celah air terjun dan juga pokok. Pekerja kraftangan juga mempamerkan hasil kerja di dalam kedai mereka dan boleh dilihat ataupun dibeli terus ketika anda berada di sini.

Ningle Terrace. Masih ada sisa-sisa salji untuk kami.
Setelah selesai bersiar-siar di sini, kami meneruskan perjalanan ke rumah penginapan pertama kami kira-kira 20 minit dari Ningle Terrace. Waktu Maghrib di sini adalah sekitar 6.15 petang (waktu tempatan) manakala waktu Subuh pula adalah sekitar 3.55 pagi.

Pemandangan sekitar yang tersangat cantik.
Seterusnya, kami akan meneruskan perjalanan ke Asahikawa tapi sebelum itu kami akan singgah di beberapa tempat menarik terlebih dahulu di pertengahan perjalanan. Nantikan pada bahagian seterusnya.