Furano - Asahikawa
Hari kedua, kami meneruskan perjalanan menuju ke Asahikawa. Kami berhenti sebentar di Nakafurano, di mana terletaknya sebuah ladang bunga bermusim yang dipanggil Farm Tomita. Nasib tidak menyebelahi kami kerana bersebelahan Farm Tomita iaitu Tomita Melon House tidak dibuka pula. Penulis pun tidak pasti mengapa ia ditutup. Tiada rezeki buat kami untuk merasai buah-buahan yang dikatakan antara yang paling sedap dan paling mahal di dunia iaitu Yubari King Melon.
Farm Tomita |
Lavender Shop |
Kemudian kami berhenti lagi di Shikisai No Oka. Terletak di Biei, ia hanya mengambil masa 30 minit perjalanan dari Furano.
Shikisai No Oka merupakan sebuah taman bunga bermusim yang mempunyai pemandangan yang sangat menakjubkan di kawasan seluas 15 hektar. Malangnya semasa kedatangan kami, tanda-tanda sakura masih belum kelihatan disebabkan Hokkaido masih lagi dalam peralihan musim sejuk. (musim bunga di Hokkaido lewat sebulan dari musim bunga di Tokyo). Walaupun tiada bunga, namun kami masih dapat menikmati pemandangan indah berlatar belakangkan gunung-ganang yang cantik.
Belum rezeki kami untuk merasai sakura di sini |
Destinasi akhir kami sebelum ke Asahikawa adalah Shirogane Blue Pond. Di sini jalannya agak licin berikutan masih terdapat salji yang masih belum mencair. Pemandangan tasik biru di sini pasti memukau sesiapa sahaja yang memandangnya. Setelah selesai berjalan-jalan di sini, kami pun terus ke rumah penginapan kami yang terletak di Asahikawa.
Blue Pond. Menakjubkan |
Salji di Blue Pond |
Asahikawa - Sapporo - Otaru
Pada hari ke-3, dari Asahikawa kami menuju ke Sapporo. Tiada aktiviti yang dapat kami lakukan di Asahikawa kerana Zoo Asahiyama tidak dibuka sehingga 26 April. Perjalanan ke pusat bandar Hokkaido ini pula mengambil masa hampir 2 jam. Terdapat banyak tempat menarik di Sapporo tetapi tumpuan kami adalah pada Moerenuma Park dan Takunikoji Arcade.
Moerenuma Park |
Penulis agak terkejut apabila memasuki bandar Sapporo kerana jalannya yang agak sesak dan juga banyak jalan sehala yang sedikit mengelirukan. Perlu diingatkan bahawa jika lampu isyarat membelok kiri anda bertukar hijau tetapi dalam masa yang sama lampu isyarat untuk pejalan kaki juga hijau, maka keutamaan perlu diberikan kepada pejalan kaki dahulu. Jadi jangan pula anda hon kepada kereta di hadapan anda jika mereka tidak membelok walaupun lampu telahpun hijau.
Di Malaysia, jika lampu isyarat untuk membelok ke kanan bertukar hijau bermaksud pemandu dari jalan bertentangan anda akan berhenti, bukan? Tetapi tidak di Hokkaido (mungkin di seluruh Jepun juga). Jadi sentiasalah berhati-hati di jalan raya. Dapatkan GPS untuk kereta sewa anda dalam bahasa Inggeris kerana ianya sangat berguna nanti.
Pencarian kami ke satu-satunya restoran ramen halal di Sapporo iaitu Ramen Horyu berakhir dengan kekecewaan kerana ianya ditutup untuk pengubahsuaian dan telah berpindah ke tempat lain. Dengan caj parking yang boleh dikatakan ala-ala yahudi harganya, kami telahpun membazir masa kerana kami berjalan kaki hampir 1 kilometer dari tempat meletak kenderaan kami ke restoran ini.
Ramen Horyu. Tutup. Kecewa |
Di Sapporo, Takunikoji Shopping Arcade merupakan syurga membeli-belah samada untuk pelancong asing mahupun rakyat tempatan. Dengan harga yang murah serta pelbagai pilihan barangan edisi terhad yang tiada di tempat lain, pastikan anda memperuntukkan masa yang lebih (dan juga wang lebih) jika anda seorang kaki shopping.
Tempat menguji nafsu berbelanja, Takunikoji Arcade |
Antara kedai yang terkenal di sini adalah Mega Don Quijote, ABC Mart, 2nd Street dan banyak lagi. Setelah selesai mencuci mata di sini, kami pulang ke rumah penginapan kami yang seterusnya di Otaru.
Otaru
Hari pertama di Otaru menyaksikan kami menjelajah sekitar bandar Otaru dengan Sankaku Market menjadi tempat pertama persinggahan kami. Misi kami adalah untuk mencari makanan laut yang terkenal di sini, King Crab. Terletak berdekatan dengan Stesen Otaru, pasar ini dibuka seawal jam 7 pagi dan ditutup pada jam 5.30 petang.
Fresh King Crab |
Pencarian kami membuahkan hasil kerana terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis ketam dengan harga yang berpatutan (agak mahal sebenarnya). Harga ketam di sini tidak sama bagi setiap kedai, terpulang pada anda untuk memilih kerana harga yang ditawarkan adalah termasuk dengan harga memasak (anggaran 8000 hingga 11000 yen sekilogram). Ketika di sini, hampir kesemua kedai mencadangkan agar kami memilih 'hairy crab' berbanding dengan king crab kerana rasanya yang dikatakan lebih sedap dan isi yang lebih padat.
Setelah puas mencari kedai yang sesuai, kami tertarik pada satu kedai yang menawarkan harga yang berpatutan dan memahami kehendak kami sebagai seorang muslim. Jadi kami memilih untuk menikmati hidangan hairy crab.
Hairy Crab |
Sedap! |
Kemudian kami singgah sebentar ke LeTAO. LeTAO adalah singkatan kepada huruf pertama frasa Perancis "La Tour Amitie Otaru". Jika anda seorang peminat pencuci mulut yang berasaskan keju ataupun coklat maka inilah tempat yang paling sesuai untuk anda. Sebelum anda membeli sebarang makanan di sini, pastikan anda mengenal pasti terlebih dahulu produk halal dijual di sini. Berikut merupakan produk yang halal di LeTAO. (sumber : pengurusan LeTAO)
・Parfait D'or Fromage
・Sensation
・Crème Renversée
・Doux Miel [Plain]
・Doux Miel [Chocolate]
・Otaru Rue Ironai Fromage
・THÉ NOIR
・Petit Chocolat [Strawberry]
・Petit Chocolat [Caramel hazelnut]
・Petit Chocolat [Almond & Cocoa]
・Royale Montagne
Antara yang halal di LeTao, Parfait D'or Fromage |
Paling popular di sini, Double Fromage. Malangya tidak halal. |
Di akhir penjelajahan kami di bandar ini, kami ke Otaru Canal. Tempat yang menjadi tumpuan pelancong ini merupakan simbol kemegahan bandar Otaru, sesuai untuk bergambar sebgai kenang-kenangan.
Otaru Canal |
No comments:
Post a Comment