Siapa yang tidak mengenali negara Jepun? Negara yang cukup hebat dari segi budaya, teknologi dan juga keindahan alam semulajadinya. Penulis memilih untuk ke negara matahari terbit ini kerana ingin merasai sendiri bagaimana cara hidup masyarakat serta menikmati panorama alamnya yang dikatakan setanding dengan New Zealand. Jadi penulis sekeluarga memilih untuk ke Hokkaido.
Hokkaido merupakan pulau kedua terbesar di Jepun. Terletak di bahagian paling utara Jepun, bandar terbesar di Hokkaido adalah pusat bandarnya iaitu Sapporo. Ketika penulis ke Jepun kali ini, tukaran matawang adalah 100 yen = RM 3.70.
Penerbangan
dari KLIA2 ke New Chitose Airport mengambil masa hampir 8 jam. Perlu
diingatkan, sistem jaringan pengangkutan awam di Hokkaido agak terhad dan tidaklah seperti bandar besar Jepun yang lain seperti Tokyo mahupun Osaka. Jadi penulis
telah menyewa kereta di sini memandangkan hanya bandar-bandar utama Hokkaido
sahaja (Sapporo, Chitose, Otaru) yang mempunyai pengangkutan awam yang mudah.
Untuk memandu di Jepun, anda perlu mempunyai lesen memandu
antarabangsa. Lesen ini boleh dipohon melalui mana-mana cawangan JPJ seluruh
Malaysia.
Lesen Memandu Antarabangsa |
Sesudah melepasi kastam dan imigresen, kami terus mencari kiosk tempat menyewa kereta kami. Sebelum ke Jepun, penulis telah menempah kereta melalui website tabirai.net (ala-ala trivago versi kereta juga). Dari kiosk berkenaan, kami perlu menaiki bas perantara yang akan membawa kami ke tempat mengambil kereta. Perjalanan memakan masa kira-kira 10 minit sahaja dari lapangan terbang.
Pilihan kami, Nippon Rent-A-Car |
Pada mulanya, kami memilih untuk menyewa sebuah Honda Fit (Jazz) Hybrid, namun disebabkan tiada stok maka kami diberi sebuah kereta Nissan Note Hybrid. Memandangkan isteri penulis seorang peminat Honda, maka beliau mahukan juga kereta Honda seperti yang ditempah sebelum ini. Jika diikutkan harga sewaan untuk Nissan Note adalah sedikit murah dan dari segi rupa juga, jujurnya penulis lebih berminat kepada Honda Fit. Akhirnya pekerja di situ berusaha juga untuk memenuhi permintaan kami.
Kereta kami dilengkapi ETC (smart tag) dengan harga 324 yen (RM12) dan juga Pass Hokkaido Expressway (kad TnG) selama 7 hari dengan harga 7700 yen (RM285). Jadi kami bebas memandu mana-mana lebuhraya di Hokkaido selama 7 hari jika kami menggunakan pas tersebut. Pastikan juga anda mendapatkan insurans premium jika memandu di sini kerana malang itu tidak berbau bukan?
Honda Fit Hybrid. Jimat minyak |
Pengembaraan kami diteruskan ke lokasi pertama iaitu Ningle Terrace. Terletak di Furano, perjalanan megambil masa kira-kira 2 jam. Suhu pada ketika ini adalah sekitar 7°C. Undang-undang jalan raya di Jepun tidak jauh berbeza dengan negara kita, cuma ada sedikit sahaja perbezaan yang akan membuatkan kita keliru pada permulaannya.
Ningle Terrace terletak betul-betul di bawah New Furano Prince Hotel. Hampir kesemuanya di Ningle Terrace diperbuat dengan menggunakan bahan semulajadi dengan bangunan kayu dan juga laluan pejalan kaki yang indah di celah-celah air terjun dan juga pokok. Pekerja kraftangan juga mempamerkan hasil kerja di dalam kedai mereka dan boleh dilihat ataupun dibeli terus ketika anda berada di sini.
Ningle Terrace. Masih ada sisa-sisa salji untuk kami. |
Setelah selesai bersiar-siar di sini, kami meneruskan perjalanan ke rumah penginapan pertama kami kira-kira 20 minit dari Ningle Terrace. Waktu Maghrib di sini adalah sekitar 6.15 petang (waktu tempatan) manakala waktu Subuh pula adalah sekitar 3.55 pagi.
No comments:
Post a Comment