Sunday, 28 April 2019

Hokkaido Trip : Chapter 2

Furano - Asahikawa

Hari kedua, kami meneruskan perjalanan menuju ke Asahikawa. Kami berhenti sebentar di Nakafurano, di mana terletaknya sebuah ladang bunga bermusim yang dipanggil Farm Tomita. Nasib tidak menyebelahi kami kerana bersebelahan Farm Tomita iaitu Tomita Melon House tidak dibuka pula. Penulis pun tidak pasti mengapa ia ditutup. Tiada rezeki buat kami untuk merasai buah-buahan yang dikatakan antara yang paling sedap dan paling mahal di dunia iaitu Yubari King Melon.


Farm Tomita
Lavender Shop

Kemudian kami berhenti lagi di Shikisai No Oka. Terletak di Biei, ia hanya mengambil masa 30 minit perjalanan dari Furano. 

Shikisai No Oka merupakan sebuah taman bunga bermusim yang mempunyai pemandangan yang sangat menakjubkan di kawasan seluas 15 hektar. Malangnya semasa kedatangan kami, tanda-tanda sakura masih belum kelihatan disebabkan Hokkaido masih lagi dalam peralihan musim sejuk. (musim bunga di Hokkaido lewat sebulan dari musim bunga di Tokyo). Walaupun tiada bunga, namun kami masih dapat menikmati pemandangan indah berlatar belakangkan gunung-ganang yang cantik.

Belum rezeki kami untuk merasai sakura di sini
Destinasi akhir kami sebelum ke Asahikawa adalah Shirogane Blue Pond. Di sini jalannya agak licin berikutan masih terdapat salji yang masih belum mencair. Pemandangan tasik biru di sini pasti memukau sesiapa sahaja yang memandangnya. Setelah selesai berjalan-jalan di sini, kami pun terus ke rumah penginapan kami yang terletak di Asahikawa. 

Blue Pond. Menakjubkan

Salji di Blue Pond

Asahikawa - Sapporo - Otaru

Pada hari ke-3, dari Asahikawa kami menuju ke Sapporo. Tiada aktiviti yang dapat kami lakukan di Asahikawa kerana Zoo Asahiyama tidak dibuka sehingga 26 April. Perjalanan ke pusat bandar Hokkaido ini pula mengambil masa hampir 2 jam. Terdapat banyak tempat menarik di Sapporo tetapi tumpuan kami adalah pada Moerenuma Park dan Takunikoji Arcade.

Moerenuma Park
Penulis agak terkejut apabila memasuki bandar Sapporo kerana jalannya yang agak sesak dan juga banyak jalan sehala yang sedikit mengelirukan. Perlu diingatkan bahawa jika lampu isyarat membelok kiri anda bertukar hijau tetapi dalam masa yang sama lampu isyarat untuk pejalan kaki juga hijau, maka keutamaan perlu diberikan kepada pejalan kaki dahulu. Jadi jangan pula anda hon kepada kereta di hadapan anda jika mereka tidak membelok walaupun lampu telahpun hijau. 

Di Malaysia, jika lampu isyarat untuk membelok ke kanan bertukar hijau bermaksud pemandu dari jalan bertentangan anda akan berhenti, bukan? Tetapi tidak di Hokkaido (mungkin di seluruh Jepun juga). Jadi sentiasalah berhati-hati di jalan raya. Dapatkan GPS untuk kereta sewa anda dalam bahasa Inggeris kerana ianya sangat berguna nanti.

Pencarian kami ke satu-satunya restoran ramen halal di Sapporo iaitu Ramen Horyu berakhir dengan kekecewaan kerana ianya ditutup untuk pengubahsuaian dan telah berpindah ke tempat lain. Dengan caj parking yang boleh dikatakan ala-ala yahudi harganya, kami telahpun membazir masa kerana kami berjalan kaki hampir 1 kilometer dari tempat meletak kenderaan kami ke restoran ini.

Ramen Horyu. Tutup. Kecewa
Di Sapporo, Takunikoji Shopping Arcade merupakan syurga membeli-belah samada untuk pelancong asing mahupun rakyat tempatan. Dengan harga yang murah serta pelbagai pilihan barangan edisi terhad yang tiada di tempat lain, pastikan anda memperuntukkan masa yang lebih (dan juga wang lebih) jika anda seorang kaki shopping. 


Tempat menguji nafsu berbelanja, Takunikoji Arcade
Antara kedai yang terkenal di sini adalah Mega Don Quijote, ABC Mart, 2nd Street dan banyak lagi. Setelah selesai mencuci mata di sini, kami pulang ke rumah penginapan kami yang seterusnya di Otaru.

Otaru 

Hari pertama di Otaru menyaksikan kami menjelajah sekitar bandar Otaru dengan Sankaku Market menjadi tempat pertama persinggahan kami. Misi kami adalah untuk mencari makanan laut yang terkenal di sini, King Crab. Terletak berdekatan dengan Stesen Otaru, pasar ini dibuka seawal jam 7 pagi dan ditutup pada jam 5.30 petang. 

Fresh King Crab
Pencarian kami membuahkan hasil kerana terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis ketam dengan harga yang berpatutan (agak mahal sebenarnya). Harga ketam di sini tidak sama bagi setiap kedai, terpulang pada anda untuk memilih kerana harga yang ditawarkan adalah termasuk dengan harga memasak (anggaran 8000 hingga 11000 yen sekilogram). Ketika di sini, hampir kesemua kedai mencadangkan agar kami memilih 'hairy crab' berbanding dengan king crab kerana rasanya yang dikatakan lebih sedap dan isi yang lebih padat. 


Hairy Crab
Setelah puas mencari kedai yang sesuai, kami tertarik pada satu kedai yang menawarkan harga yang berpatutan dan memahami kehendak kami sebagai seorang muslim. Jadi kami memilih untuk menikmati hidangan hairy crab.

Sedap!
Kemudian kami singgah sebentar ke LeTAO. LeTAO adalah singkatan kepada huruf pertama frasa Perancis "La Tour Amitie Otaru". Jika anda seorang peminat pencuci mulut yang berasaskan keju ataupun coklat maka inilah tempat yang paling sesuai untuk anda. Sebelum anda membeli sebarang makanan di sini, pastikan anda mengenal pasti terlebih dahulu produk halal dijual di sini. Berikut merupakan produk yang halal di LeTAO. (sumber : pengurusan LeTAO)
・Parfait D'or Fromage
・Sensation
・Crème Renversée
・Doux Miel [Plain]
・Doux Miel [Chocolate]
・Otaru Rue Ironai Fromage
・THÉ NOIR
・Petit Chocolat [Strawberry]
・Petit Chocolat [Caramel hazelnut]
・Petit Chocolat [Almond & Cocoa]
・Royale Montagne

Antara yang halal di LeTao, Parfait D'or Fromage 
Paling popular di sini, Double Fromage. Malangya tidak halal.

Di akhir penjelajahan kami di bandar ini, kami ke Otaru Canal. Tempat yang menjadi tumpuan pelancong ini merupakan simbol kemegahan bandar Otaru, sesuai untuk bergambar sebgai kenang-kenangan. 

Otaru Canal
Kami terpaksa berbincang dan merancang jadual perjalanan berikutan perasaan yang berbelah bahagi kerana tidak membeli apa-apa di Sapporo. Alang-alang sudah sampai ke Jepun, paling tidak pun sekurang-kurangnya satu barang sudah mencukupi sebagai kenangan buat kami. Adakah kami akan kembali ke Sapporo semula ataupun meneruskan perjalanan kami seperti yang dirancangkan iaitu ke Shakotan dan seterusnya Niseko? Sama-sama kita nantikan di bahagian yang lain pula.

Thursday, 25 April 2019

Hokkaido Trip : Chapter 1

Siapa yang tidak mengenali negara Jepun? Negara yang cukup hebat dari segi budaya, teknologi dan juga keindahan alam semulajadinya. Penulis memilih untuk ke negara matahari terbit ini kerana ingin merasai sendiri bagaimana cara hidup masyarakat serta menikmati panorama alamnya yang dikatakan setanding dengan New Zealand. Jadi penulis sekeluarga memilih untuk ke Hokkaido.

Hokkaido merupakan pulau kedua terbesar di Jepun. Terletak di bahagian paling utara Jepun, bandar terbesar di Hokkaido adalah pusat bandarnya iaitu Sapporo. Ketika penulis ke Jepun kali ini, tukaran matawang adalah 100 yen = RM 3.70.

Penerbangan dari KLIA2 ke New Chitose Airport mengambil masa hampir 8 jam. Perlu diingatkan, sistem jaringan pengangkutan awam di Hokkaido agak terhad dan tidaklah seperti bandar besar Jepun yang lain seperti Tokyo mahupun Osaka. Jadi penulis telah menyewa kereta di sini memandangkan hanya bandar-bandar utama Hokkaido sahaja (Sapporo, Chitose, Otaru) yang mempunyai pengangkutan awam yang mudah. Untuk memandu di Jepun, anda perlu mempunyai lesen memandu antarabangsa. Lesen ini boleh dipohon melalui mana-mana cawangan JPJ seluruh Malaysia.

Lesen Memandu Antarabangsa
New Chitose Airport - Furano

Sesudah melepasi kastam dan imigresen, kami terus mencari kiosk tempat menyewa kereta kami. Sebelum ke Jepun, penulis telah menempah kereta melalui website tabirai.net (ala-ala trivago versi kereta juga). Dari kiosk berkenaan, kami perlu menaiki bas perantara yang akan membawa kami ke tempat mengambil kereta. Perjalanan memakan masa kira-kira 10 minit sahaja dari lapangan terbang. 


Pilihan kami, Nippon Rent-A-Car

Pada mulanya, kami memilih untuk menyewa sebuah Honda Fit (Jazz) Hybrid, namun disebabkan tiada stok maka kami diberi sebuah kereta Nissan Note Hybrid. Memandangkan isteri penulis seorang peminat Honda, maka beliau mahukan juga kereta Honda seperti yang ditempah sebelum ini. Jika diikutkan harga sewaan untuk Nissan Note adalah sedikit murah dan dari segi rupa juga, jujurnya penulis lebih berminat kepada Honda Fit. Akhirnya pekerja di situ berusaha juga untuk memenuhi permintaan kami. 

Kereta kami dilengkapi ETC (smart tag) dengan harga 324 yen (RM12) dan juga Pass Hokkaido Expressway (kad TnG) selama 7 hari dengan harga 7700 yen (RM285). Jadi kami bebas memandu mana-mana lebuhraya di Hokkaido selama 7 hari jika kami menggunakan pas tersebut. Pastikan juga anda mendapatkan insurans premium jika memandu di sini kerana malang itu tidak berbau bukan? 


Honda Fit Hybrid. Jimat minyak
Pengembaraan kami diteruskan ke lokasi pertama iaitu Ningle Terrace. Terletak di Furano, perjalanan megambil masa kira-kira 2 jam. Suhu pada ketika ini adalah sekitar 7°C. Undang-undang jalan raya di Jepun tidak jauh berbeza dengan negara kita, cuma ada sedikit sahaja perbezaan yang akan membuatkan kita keliru pada permulaannya.

Ningle Terrace terletak betul-betul di bawah New Furano Prince Hotel. Hampir kesemuanya di Ningle Terrace diperbuat dengan menggunakan bahan semulajadi dengan bangunan kayu dan juga laluan pejalan kaki yang indah di celah-celah air terjun dan juga pokok. Pekerja kraftangan juga mempamerkan hasil kerja di dalam kedai mereka dan boleh dilihat ataupun dibeli terus ketika anda berada di sini.

Ningle Terrace. Masih ada sisa-sisa salji untuk kami.
Setelah selesai bersiar-siar di sini, kami meneruskan perjalanan ke rumah penginapan pertama kami kira-kira 20 minit dari Ningle Terrace. Waktu Maghrib di sini adalah sekitar 6.15 petang (waktu tempatan) manakala waktu Subuh pula adalah sekitar 3.55 pagi.

Pemandangan sekitar yang tersangat cantik.
Seterusnya, kami akan meneruskan perjalanan ke Asahikawa tapi sebelum itu kami akan singgah di beberapa tempat menarik terlebih dahulu di pertengahan perjalanan. Nantikan pada bahagian seterusnya.

Tuesday, 8 January 2019

HAY YAN HU DA

Penulis mengenali tempat ini dari seorang kenalan rapat. Dengan konsep masakan kampung, cafe ini mula dibuka secara rasmi pada Julai 2018. Walaupun agak jauh dari rumah, penulis sudah 2 kali berkunjung ke sini bukan kerana masakan kampungnya sahaja tetapi juga kerana pastrinya yang amat memukau.

Bertempat di Kampung Temiang Seremban, cafe Hayyan Huda Opah's Kitchen & Pastribella Bakeshop ini merupakan air tangan dari juara Masterchef Malaysia musim pertama, Dr Ezani bersama keluarganya.

Menu yang unik.
Perjalanan ke sini yang mengambil masa lebih 1 jam dirasakan berbaloi sebaik sahaja penulis tiba ke restoran ini. Suasana kampung di atas bukit terasa tenang dan damai. Dikelilingi oleh hutan dan rumah-rumah kampung, cafe ini juga mempunyai tempat letak kereta yang sangat luas.

Suasana yang damai walaupun panas terik
Mungkin ramai yang tertanya-tanya; mengapa dinamakan Hayyan Huda? Sebenarnya ia adalah gabungan nama daripada 2 orang kanak-kanak autism iaitu adik Hayyan & Huda. Mereka berdua merupakan anak kepada salah seorang pengasas cafe ini. Oleh kerana itu untuk masuk ke cafe ini anda dikehendaki membuka kasut terlebih dahulu. Selain mendapat pengalaman seperti makan di rumah, kanak-kanak juga bebas bergerak tanpa perlu risau jika terjatuh kerana lantainya sangat bersih.

Pilihan makanan di sini boleh dikatakan lebih kepada masakan lemak cili api dan juga asam pedas. Dari ikan jenahak, udang galah, daging salai, ikan sembilang atau telur itik semuanya ada. Harga juga boleh dikira agak berpatutan jika dibandingan dengan rasanya. Kuantiti yang sederhana untuk setiap hidangan membuatkan kita merasakan mungkin makanan ini tidak mencukupi tetapi sebenarnya cukup, tidak lebih dan tidak pula kurang. Terdapat juga makanan lain seperti sup ayam kampung, sambal sotong dan juga sambal ikan bilis petai yang sememangnya kegemaran penulis sejak azali lagi.

Serius sedap!
Kopi kampung (o@susu) recommended!
Pastribella Bakeshop by Dr Ezani pula menawarkan pelbagai jenis pastri seperti kek, muffin, biskut, tart dan bermacam-macam lagi. Harga pastri di sini pula sedikit mahal namun apabila ia merupakan air tangan juara Masterchef itu sendiri, berbaloi sangat rasanya dengan apa yang dibayar. Pilihan penulis; kesemuanya mesti dicuba.

Durian cheesecake. Padu.
Chocolate Salted Caramel Cake. Wow!
Dibuka hanya pada hujung minggu sahaja iaitu dari jam 11 pagi hingga 3 petang dan disambung semula pada 6 petang sehingga 11 malam menjadikan cafe ini eksklusif sehingga kerapkali kelihatan barisan beratur yang panjang menunggu giliran untuk mendapatkan meja. Di sini juga terdapat kemudahan surau untuk pelanggan yang datang.

Cafe ini adalah tempat yang pasti membuatkan anda kembali lagi, dan penulis merasakan akan ada penambahan menu baru kelak. Bagi yang pernah merasai masakan Watie's Corner ataupun cafe Aunty Aini's di Nilai, anda pasti akan dapat merasai sendiri kelainannya apabila anda berkunjung ke sini. Berbaloi.


Hayyan Huda Opah's Kitchen
Pastribella Bakeshop by Dr Ezani
23, Jalan Bukit Temiang 1,
Taman Bukit Temiang,
70200 Seremban, Negeri Sembilan

Monday, 7 January 2019

MotoGP 2019 : Apa yang mungkin berlaku?

Jika tiada sesuatu yang benar-benar luar biasa berlaku pada 2019, secara jujurnya penulis meramalkan Marc Marquez akan memenangi satu lagi gelaran MotoGP. Secara keseleruhannya kali ke-6 dalam kategori motoGP dan gelaran yang ke-8 dalam semua kelas yang pernah disertainya. Biasanya, apabila penunggang berada dalam keadaan sepertinya, memenangi kejuaraan demi kejuaraan akhirnya membawa kepada kebosanan. Tiada lagi keinginan untuk cabaran baru, maka kemalangan serta kecederaan sahaja yang dapat menghentikannya. Kecederaan adalah sesuatu yang luar dari kawalan Marquez tetapi setakat ini beliau tidak menunjukkan tanda-tanda kebosanan. Tidak seperti Valentino Rossi pada tahun 2006, tiada khabar angin menunjukkan bahawa Marquez berminat untuk beralih arah ke perlumbaan Formula 1.

Kenapa penulis berpendapat Marquez akan memenanginya sekali lagi? Honda sangat berpuas hati dengan enjin baru mereka dan lebih fokus kepada casis serta sistem suspensi. Terdapat banyak maklum balas positif ketika di Valencia dan Jerez, jadi Marquez dapat menghabiskan lebih banyak masa mencari keserasian serta dalam masa yang sama kurang mengambil risiko.

Namun penulis juga tidak mengatakan bahawa Marquez akan memenangi banyak perlumbaan pada tahun 2019 seperti yang dilakukannya pada tahun 2018. Ini kerana dia baru sahaja pulih dari pembedahan serius di bahunya. Pembedahan ini dianggap berjaya namun Marquez sekarang berada dalam situasi pemulihan, bukan dalam mood persediaan. Dia mungkin akan cergas untuk ujian pra-musim di Sepang, tetapi tidak 100%. Mungkin Marquez juga tidak akan berada dalam keadaan terbaiknya sehingga beberapa perlumbaan nanti.

Meskipun Honda menjadi lebih baik pada tahun 2019, namun ada peningkatan juga pada semua pasukan lain. Maklum balas daripada pelumba Ducati bahawa pasukan yang berasal dari Bologna itu telah menjadikan GP19 lebih baik serta dapat mengatasi kelemahan terbesar mereka. Suzuki GSX-RR juga adalah motosikal yang jauh lebih baik dari tahun lepas dan sepatutnya cukup baik untuk menang sekarang. Terdapat sebab untuk optimis di Yamaha, dengan enjinnya bertambah baik dan kini mungkin boleh diperbaiki dengan elektronik dan sistem suspensi tetapi tumpuan sebenar adalah pada elektronik. 

Jika Honda RC213V tahun 2019 lebih baik dari tahun lepas, maka Marquez mempunyai persaingan dari kedua-dua rakan Honda iaitu rakan sepasukan baru beliau Jorge Lorenzo dan juga Cal Crutchlow. Mereka berdua sepatutnya mampu menewaskannya nanti.


Adakah Marquez sudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraannya?
Gambar ihsan : motogp.com
Rakan Sepasukan

Walaupun terdapat ketegangan antara rakan sepasukan pada 2018, kebanyakan pasukan berjaya mengawalnya. Ia bukanlah satu rahsia bahawa Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo tidak dapat mengawal perasaan masing-masing pada akhir tahun lalu tetapi untuk sebahagian besar masa mereka jarang membawa masalah antara mereka kepada pengetahuan umum. Di Yamaha pula, Maverick Vinales dan Valentino Rossi cuba membawa M1 ke arah yang berbeza tetapi mereka melakukannya di belakang, bukan di hadapan media global.

Apakah yang akan berubah untuk tahun 2019? Persoalannya, perang dingin dari pasukan manakah yang akan bermula dahulu?

Pendapat penulis; Yamaha. Vinales mempunyai beberapa komen yang kuat untuk Yamaha pada tahun 2018. Kebanyakannya ditujukan kepada krewnya dan juga Yamaha itu sendiri. Walau bagaimanapun Yamaha lebih mendengar komen Rossi berbanding Vinales. Sementara itu Rossi telah berada bersama Yamaha beberapa kali dan sepatutnnya tahu bahawa beliau perlu bekerja untuk Yamaha, bukan pada rakan sepasukannya; sesuatu yang dilakukannya dari semasa ke semasa tahun lalu.

Yamaha mempunyai pilihan pada tahun ini: sama ada untuk mendengar sepenuhnya pada Maverick Vinales sebagai petunjuk arah untuk masa hadapan atau berpegang pada pengalaman Valentino Rossi dan berharap maklum balasnya akan berfungsi untuk sesiapa sahaja yang menunggang jentera Yamaha. Ia adalah satu keputusan yang telah mereka putuskan untuk satu jangka masa yang lama dengan harapan bahawa perbezaan antara maklum balas keduanya akan selesai dengan sendirinya. Tetapi selepas cuma memenangi satu perlumbaan sahaja pada 2018 serta tersingkir awal dari gelaran juara pengeluar, mereka tidak boleh menangguhkanya lagi. Memandangkan kesabaran kedua-dua pelumba itu sudah semakin nipis, sesiapa yang tewas atau berasa seolah-olah dia telah tewas - mungkin akan dikritik, kerana menutup kesalahan tidak lagi membantu.

Perkara ini juga tidak akan menjadi lebih baik di Honda. Setelah bertahun-tahun menjadi nombor satu di dalam pasukan Repsol dan menghabiskan banyak tenaga dalam dua musim yang lalu meletakkan tekanan pada HRC untuk membentuk pasukan dan proses pembangunan ke bentuk yang diinginkan. Marc Marquez disertai oleh penunggang yang diharapkan sebagai sekurang-kurangnya sama tahap. Dani Pedrosa adalah seorang ahli pasukan yang sempurna, tidak pernah mengambil kesempatan dan sentiasa memintas percubaan untuk menjatuhkan di antara dirinya dan Marquez atau apa jua provokasi. Manakala Jorge Lorenzo pula dahulunya menyertai Yamaha tanpa persetujuan Valentino Rossi dan menghabiskan tujuh tahun berkongsi garaj dengan lelaki yang dianggap sebagai pakar permainan minda.

Marquez dan Lorenzo mempunyai banyak persamaan. Kita boleh melihat mereka sebagai dua pelumba yang paling berbakat di grid ketika ini dan kedua-duanya yakin bahawa mereka layak bergelar juara. Kedua-duanya mengharapkan untuk menjadi pemimpin serta diberi perhatian tanpa persoalan. Tetapi mereka mempunyai pendekatan yang sangat berbeza untuk perlumbaan yang telah membawa mereka untuk bertembung di dalam mahupun di luar trek. Marquez menggemari pelumbaan yang kasar dan berani mengambil risiko yang boleh membuatkan penunggang lain terjatuh dalam perlumbaan dengan jarak yang sangat hampir, sementara Lorenzo berpegang pada cara di mana pintasan hanya boleh dilakukan secara kemas dan lancar tanpa mengganggu penunggang yang dipintas. 

Pada satu ketika nanti, Marquez dan Lorenzo akan bertembung juga seperti yang telah mereka lakukan pada masa lalu. Lorenzo suatu ketika dahulu menyalahkan Marquez kerana terlibat dalam kemalangan pada selekoh pertama di Aragon dan mempunyai kata-kata keras untuknya di Argentina. Dia menolak untuk bersalam dengan Marquez selepas mereka berlanggar di selekoh terakhir Jerez pada tahun 2013. Marquez pernah memberitahu secara terbuka mengenai beliau mahu mengalahkan Lorenzo dengan menggunakan jentera yang sama kerana beliau percaya Lorenzo tidak mampu bersaing dengannya.

Bagaimana ia akan berlaku nanti? Apa yang pasti, sepanjang musim ini akan menjanjikan keseronokan sama ada kepada pihak media ataupun peminat.


Mampukah Vinales mempamerkan potensi sebenar dirinya?
Gambar ihsan : motogp.com 
Suzuki

Penulis pernah menyebut sebelum ini, Suzuki akan menjadi pesaing yang konsisten pada 2019. Selepas tewas pada 2017, perkembangan GSX-RR dibantu oleh maklum balas yang sangat baik daripada penunggang ujian Sylvain Guintoli telah membawa satu langkah besar ke hadapan. Jentera 2018 bermula dengan baik malah menjadi lebih baik apabila di pertengahan musim terutamanya apabila mereka memperkenalkan enjin baru selepas Assen. Mereka mengakhiri tahun ini dengan jumlah 9 podium, lebih daripada mencukupi.

Mereka juga mempunyai dua pelumba yang sangat berpotensi. Alex Rins memasuki musim ketiganya dan dengan pengalaman satu musim penuh perlumbaan pada 2018, tidak seperti musim pertamanya pada 2017 yang sering dibelenggu masalah kecederaan. Joan Mir mungkin seorang pelumba baru, tetapi sangat dipandang tinggi kerana potensinya. Mereka yang telah bekerja dengannya membuat perbandingan dengan Marc Marquez dari segi tumpuan, cepat belajar dan keupayaan untuk memahami apa yang berlaku dengan motosikal. Kedua-dua pelumba akan menjadi penghuni tetap podium. Kedua-dua pelumba juga mampu menang.



Pelumba berbakat besar, Joan Mir.
Gambar ihsan : motogp.com
Bersediakah Anda?

Walaupun memenangi kejuaraan adalah matlamat utama, memenangi perlumbaan demi perlumbaan dan podium secara konsisten cukup untuk membenarkan penyertaan berterusan dalam MotoGP. Tetapi bagaimana jika kedudukan podium yang diharapkan terlalu mustahil untuk dicapai? Itulah persoalan yang akan menjejaskan minda pihak atasan di kedua-dua pasukan KTM dan Aprilia musim ini. Berapa lama mereka boleh berlumba jika kejayaan yang mereka impikan tidak kunjung tiba?

Keadaan sekarang menjadi lebih buruk buat KTM. Pol Espargaro menduduki tempat ke-17 pada ujian MotoGP Jerez pada November lalu, hampir 2 saat dari catatan terpantas tempoh hari. Itu bukan sasaran KTM setelah memasuki tahun ketiga mereka dalam MotoGP. Tetapi sejak awal, KTM telah menjelaskan bahawa ini adalah projek jangka masa panjang. Empat jentera di grid serta kehadiran Johann Zarco dalam pasukan akan membantu mempercepatkan kemajuan. Tetapi jika KTM menamatkan ujian Jerez di tempat ke-17, pelbagai soalan akan mula diajukan.

Tekanan nampak lebih besar pada Aprilia. Mereka mempunyai pelumba berpengalaman iaitu Aleix Espargaro dan kini mempunyai penunggang Itali yang mereka inginkan sejak sekian lama; Andrea Iannone. Iannone adalah pemenang perlumbaan MotoGP dan Espargaro lebih kompetitif bersama Aprilia RS-GP lebih dari sesiapa yang boleh diharapkan.

Jika Aprilia kekal terperangkap di luar kelompok 5 teratas dan KTM pula di luar 10 terbaik, maka pelbagai soalan akan ditanya. Dan apabila ditanya soalan, pelbagai andaian akan mula dibuat. 6 pengeluar dalam MotoGP mungkin dirasakan terlalu banyak. Pengeluar semuanya mempunyai kontrak dengan Dorna sehingga musim 2020. Tetapi jika sebuah pengeluar menarik diri, maka 2019 akan menjadi tahun di mana mereka akan mula memberi pertimbangan serius kepada idea itu.


Adakah Zarco membuat keputusan yang tepat memilih KTM?
p/s : Ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata. 

Sunday, 6 January 2019

MotoGP 2019

2019 pasti menjanjikan persaingan yang sangat menarik untuk perlumbaan motosikal dunia, dalam hampir setiap kelas di kedua-dua MotoGP dan WorldSBK. Banyak perubahan telah dilakukan yang menjadikan perlumbaan ini lebih sengit. Pengurangan grid MotoGP dari 24 kepada 22 buah motosikal serta penyertaan pasukan Petronas Yamaha menggantikan skuad Aspar yang kurang bernasib baik bermakna terdapat lebih banyak motosikal yang kompetitif di grid.

Ducati akan membawa GP19 dan GP18 pada 2019. Seperti yang diketahui GP18 adalah mesin yang lebih baik daripada GP17. Honda pula akan membawa tiga RC213Vs 2019 dan sebuah motosikal 2018 untuk Takaaki Nakagami. Nakagami merupakan pelumba terpantas pada ujian pra-musim di Jerez pada November lalu. Ini menunjukkan bahawa beliau juga mempunyai potensi yang cukup baik untuk berada di kelompok hadapan. Begitu juga Yamaha akan membawa tiga motosikal baru (factory-spec). Hanya pelumba baru iaitu Fabio Quartararo akan menggunakan motosikal mengikut speksifikasi 2018. Suzuki telah pun berada di landasan yang betul pada 2018 dan mempunyai motosikal yang lebih berkuasa untuk 2019.

Berikut merupakan senarai penuh pelumba motoGP untuk tahun 2019. (*update 28 Feb 2019

Alma Pramac Racing
43 - Jack Miller
63 - Francesco Bagnaia (Rookie; Juara moto2)

Aprilia Racing Team Gresini
41 - Aleix Espargaro
29 - Andrea Iannone (dari Suzuki)

Mission Minnow Ducati
04 - Andrea Dovizioso
9 - Danilo Petrucci (dari Pramac Ducati)

Red Bull KTM Tech3 (sebelum ini Tech3 Yamaha)
55 - Hafizh Syahrin
88 - Miguel Oliveira (Rookie; ke-2 moto2)

LCR Honda
35 - Cal Crutchlow (Castrol)
30 - Takaaki Nakagami (Idemitsu)

Petronas Yamaha SRT (Pasukan baru)
21 - Franco Morbidelli
20 - Fabio Quartararo (Rookie; ke-10 moto2)

Reale Avintia Ducati
53 - Tito Rabat
17 - Karel Abraham (dari Angel Nieto Team)

Red Bull KTM Factory Racing
5 - Johann Zarco (dari Tech3 Yamaha)
44 - Pol Espargaro

Repsol Honda Team
93 - Marc Marquez
99 - Jorge Lorenzo (dari Ducati Team)

Suzuki ECSTAR
42 - Alex Rins
36 - Joan Mir (Rookie; ke-6 moto2)

Monster Energy Yamaha 
46 - Valentino Rossi
12 - Maverick Vinales

Petronas SRT Yamaha. Antara yang tercantik.
Gambar : motogp.com
Penaja utama Yamaha iaitu Monster Energy menggantikan Movistar.
Gambar : motogp.com
Tetapi perubahan bukan hanya di MotoGP sahaja. Bagi kategori Moto2, enjin Triumph baru akan mengubah cara pelumba menunggang motosikal. Pengenalan sistem elektronik, walaupun sangat terhad tetapi ianya lebih daripada ECU sebelum ini seterusnya memberikan pasukan lebih banyak pilihan. Pengenalan Panigale V4R dari Ducati pula akan menjadikan siri WorldSBK menjadi lebih kompetitif. Selain itu, kebanyakan pelumba Moto3 tahun lalu mula bergerak ke kategori Moto2. Ini memberi laluan kepada bakat-bakat muda baru yang akan menjadikan kedua-dua kelas ini bertambah menarik untuk ditonton.

Jadi apa yang boleh kita harapkan dari tahun 2019? Sama-sama kita nantikan di entri yang akan datang. 


Adakah perpindahan Lorenzo ke Repsol Honda mampu menggugat kedudukan Marquez? Sama- sama kita nantikan. Gambar ihsan : motogp.com