Monday, 1 December 2014

Pak Li Kopitiam

Di Malaysia, terdapat banyak restoran berkonsepkan kopitiam. Penulis juga mempunyai kopitiam kegemaran iaitu Pak Li Kopitiam. Terdapat beberapa cawangan Pak Li di iaitu di Seksyen 7 & Seksyen 18 Shah Alam, Bandar Bukit Tinggi, Klang Sentral dan di Giant Kemuning Utama.

Biasanya penulis akan berkunjung ke cawangan yang terletak di Seksyen 7 disebabkan sudah biasa dengan suasana di situ (orang kata kadang-kadang restoran francais ini rasanya lain-lain). Lokasinya terletak berhampiran dengan Restoran Hakim (baru) dan bersebelahan Vicchuda Tomyam. Sepanjang kunjungan penulis ke sini, restoran ini tidak pernah kurang bilangan pengunjungnya. Tak kira awal pagi ataupun lewat malam, pasti full house.

Terdapat pelbagai jenis makanan di sini, sama ada berkonsepkan makanan tempatan atau barat. Terpulang pada citarasa masing-masing. Untuk makanan tempatan, antara menu yang popular di sini adalah nasi ayam lemon, golden fried rice, katong laksa, nasi lemak dan banyak lagi.


Nasi Lemak Ayam Goreng (RM7.40)
Untuk menu nasi lemak, penulis lebih menggemari sambal nasi lemak old town. Walau bagaimanapun sambal nasi lemak di sini juga boleh tahan rasanya. Terdapat sesuatu yang istimewa pada nasi lemak ini iaitu ianya seakan-akan serunding ikan bilis. Rasanya sedikit pedas dan masin.

Spaghetti Bolognese with chicken meat ball (RM10.90)
Untuk pilihan makanan barat pula, terdapat pilihan seperti spaghetti dan chicken chop. Spaghettinya agak banyak dan sos bolognesenya juga sedap. Harganya agak berpatutan.

Kampung Fried Rice (RM6.80)
Antara kegemaran penulis, nasi goreng kampung. Dengan kuantiti hidangan yang banyak serta agak pedas, kebiasaannya inilah hidangan yang akan penulis minta bila berkunjung ke sini. Ditambah pula dengan permintaan tambahan seperti extra pedas dan juga cili potong menjadikan nasi goreng ini betul-betul kick.
 
Untuk minuman pula, jika ke kopitiam tidak sah jika tidak menikmati air kopinya. Berbanding white coffee, penulis lebih gemarkan traditional coffee disebabkan rasa kopinya lebih pekat. Selain itu, ice blendednya juga boleh dikatakan menarik untuk dicuba di sini. Cadangan penulis perisa tiramisu. Terdapat pelbagai jenis minuman di sini sehingga boleh rambang mata dibuatnya.
 
Kiri - Ipoh white coffee (RM2.50)
Kanan - Ipoh traditional coffee (RM2.30)
Antara makanan lain yang popular di sini sudah semestinya roti bakar, telur separuh masak, mi goreng mamak dan kuey teaw goreng. Secara peribadi, Pak Li Kopitiam adalah di antara kopitiam yang mempunyai harga yang paling berpatutan berbanding restoran-restoran kopitiam yang lain. Kualiti makanannya juga bagus. Antara tempat yang mesti dikunjungi jika ke Shah Alam.

Wednesday, 26 November 2014

Mee Udang Banjir

Sebut sahaja mengenai mee udang, pasti banyak tempat yang bermain di fikiran penulis. Kuala Sepetang, Bagan Nakhoda Omar (BNO) dan banyak lagi tempat yang dirasakan menarik untuk dikunjungi.

Baru-baru ini dalam perjalanan pulang dari Lumut menuju ke Klang, penulis tertarik dengan sebuah signboard Warung Mee Udang Banjir yang terletak di Tanjung Karang, Selangor. Jika anda dari Klang ke Kuala Selangor, warung ini terletak di sebelah kiri betul-betul bersebelahan dengan masjid.

Signboard besar dan jelas



Mee udang banjir (RM8)

Menu yang pertama untuk hari itu sudah semestinya mee udang. Rasanya seakan-akan mee jawa. Tapi apa yang pasti udangnya sangatlah besar dan memuaskan hati sesiapa yang meminati makanan laut ini. Terdapat  3 udang saiz sederhana dan 1 udang bersaiz besar untuk satu hidangan ini. Harganya pula boleh dikira berpatutan.


Nasi goreng udang (RM6)

Penulis juga mencuba nasi goreng udang. Rasanya agak biasa sahaja tetapi sama seperti mee udang, nasi goreng ini keistimewaannya terletak pada udangnya. Agak malang buat penulis kerana nasi goreng yang dihidangkan mengandungi hidangan istimewa iaitu lalat (setelah beberapa suapan, itupun isteri penulis yang perasan). Walaupun digantikan dengan yang baru setelah dikomplen, tetapi persaan trauma itu tetap ada.

Secara peribadi penulis lebih menggemari mee udang di BNO kerana rasanya yang lebih sedap dan kuantiti udang yang lebih banyak walaupun tidak sebesar udang di sini. Keseluruhannya rasa makanan di sini ok manakala layanan pula agak biasa sahaja.

Friday, 21 November 2014

Revolution : Part II

Menjelang penghujung 2009, semasa menggunakan bodypart Daihatsu Cuore TR, pemilik kelisa ini ingin menukar bumper depan dan belakang yang beliau rasakan tidak sesuai (boring dah agaknya). Pilihan beliau ialah bumper dari Daihatsu cuore licca yang dilengkapkan bersama grill dan juga spotlight custom.

Cuore Licca + custom spotlight
Masih mengekalkan spoiler TR, bonet dan bumper belakangnya turut ditukar. Bonet yang dilengkapkan dengan bar berserta logo Daihatsu kelihatan lebih menarik jika dibandingkan dengan bonet beliau sebelum ini. Lampu belakang juga ditukar kepada Gino minilite.

Bahagian belakang yang turut berubah
Tetapi apa yang dijangkakan akan kekal lama tidak berkekalan. Pemilik yang tidak berpuas hati dengan bumper hadapan yang menggunakan spotlight custom, beliau nekad mencari sebuah bumper lain lengkap dengan spotlight yang tulen. Hasilnya tidak sampai setahun beliau berjaya memadankan bumper cuore injection bersama spotlight ichikoh (atau spotlight ketam).

Bumper cuore injection (spotlight ketam tambah sendiri)

Pada tahun 2011, kotak gear manual dari enjin asal juga telah ditukar kepada gear triptronik. Stereng serta meter dari model YR-V turut dipadankan pada bahagian dalaman kereta ini.
Untuk pengendalian yang lebih meyakinkan, spring dari jenama TEIN serta brek cakera belakang dipasang pada kereta ini. Melengkapkan pengubahsuaian, bumper cuore injection beliau dikacukkan bersama bumper Daihatsu Mira L6. Hasilnya, ia merupakan antara bumper kegemaran penulis kerana nampak berbeza sekali dari apa yang biasa dilihat.

Cuore injection + Mira L6. Terbaik

Kemuncak kepada pengubahsuaian kereta ini adalah transformasinya kepada Daihatsu Gino. Konsep Daihatsu Gino adalah lebih mirip kepada gaya kereta mini. Hanya mereka yang betul-betul 'berani' sahaja akan menggunakan kit luaran gino pada kereta kegunaan harian mereka. Menggunakan grill mesh, kereta ini menjadi kereta rasmi semasa perkahwinan penulis pada tahun 2012.

Thanks sudi pinjamkan!


Pernah juga menggunakan gino basic grill
Disebabkan jarak perjalanan ke tempat kerja yang agak jauh serta banyak operasi oleh pihak berkuasa, pemilik merasa sukar untuk ke mana-mana dengan bodypart gino nya, Oleh itu pemilik membuat keputusan untuk menukar kembali kepada bodypart asal kelisa generasi pertama.

Namun disebabkan minat mendalam terhadap dunia modifikasi, akhirnya pada tahun 2014, bumper hadapan kelisa asal telah dikacukkan bersama bumper dari model Daihatsu Mira L8. 

Kelisa + Mira L8. Kemas


Dikuasakan dengan enjin 1.3 liter


Warna baru memberi sedikit kelainan
Sehingga ke hari ini, beliau telahpun memadankan sebuah sunroof dari Suzuki Wagon R dan juga dalam perancangan untuk menukar dashboard asal beliau kepada Daihatsu Max. Adakah kelisa ini akan terus kekal begini ataupun akan ada penambahan ataupun pengubahsuaian lain? Sama-sama kita nantikan.


Wednesday, 19 November 2014

Adidas Factory Outlet Seasonal Sale

Di Malaysia terdapat dua cawangan adidas factory outlet iaitu di Summit USJ dan JPO. Jadi kepada peminat-peminat barangan sukan terutama jenama adidas, bertempat di Summit USJ terdapat jualan murah bermusim (seasonal sale). Kita sememangnya sedia maklum bahawa barangan jenama adidas ini tidaklah begitu murah.

Separuh harga tu..
Disebabkan lambat mendapat info serta jadual kerja yang agak sibuk, kunjungan penulis baru-baru ini mendapati banyak barangan telahpun habis. Untuk mendapatkan diskaun 50% pada mana-mana barangan adidas, kita perlu membeli sekurang-kurangnya 3 jenis barang (tak kisah apa barang pun) dan secara automatik terus mendapat potongan separuh harga untuk ketiga-tiga barang tersebut. Menarik bukan?

Rambang mata dibuatnya
Penulis sempat bertanya kepada salah seorang pekerja di situ mengenai stok baru. Mereka memberitahu bahawa mungkin stok baru akan tiba dalam waktu terdekat tapi tidak dapat dipastikan bila.

Ni belum diskaun lagi
Menurut info yang penulis dapat, pada awalnya harga barangan yang ditawarkan adalah jauh lebih murah dari apa yang penulis lihat baru-baru ini (menyesal tak datang awal). Jualan ini tidak diketahui sehingga bila tapi rasanya mungkin sehingga hujung tahun ini.

Tuesday, 18 November 2014

For Foodie By Foodie

Penulis mengetahui kewujudan tempat ini dari seorang kenalan. Beliau mengesyorkan jika mahu menikmati makanan barat yang murah dengan portion yang agak besar di Shah Alam, The Sumbs adalah tempatnya.

Kunjungan ke Shah Alam baru-baru ini membuatkan penulis teringin untuk singgah sebentar ke sini. Terletak di Persiaran Alami, Seksyen 13 (berhampiran Hotel Good Hope), The Sumbs dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat. Ia dibuka seawal 12 tengah hari sehingga 11 malam.

Kunjungan kami ke sini mendapati konsep The Sumbs lebih kepada ala-ala café di mana terdapat dua pilihan tempat duduk sama ada di dalam (air-cond)  ataupun di luar. Kami memilih untuk duduk di dalam memandangkan masih banyak tempat kosong (mungkin disebabkan hari bekerja).

Terdapat 2 jenis konsep makanan di sini iaitu makanan tempatan dan juga barat. Untuk makanan barat, boleh dikatakan kebanyakan menu proteinnya adalah ayam dan berkonsepkan deep fried. Untuk makanan tempatan pula, terdapat set nasi bersama pilihan seperti asam pedas ayam, kambing samah (nama orang ke ni?) dan juga dendeng daging.

Pilihan kami untuk hari itu ialah chicken milanese & chicken parmigiana. Kami juga turut memesan hidangan yang cukup terkenal di sini iaitu churros.

Churros - RM4.90
 
Mesti cuba!
Churros dihidangkan bersama chocolate dip sauce, rasanya memang sedap terutamanya ketika masih panas. Coklat ini dapat mengimbangi rasa telur pada churros yang agak ketara rasanya jika dimakan begitu sahaja.
Chicken milanese - RM11
Chicken milanese dihidangkan bersama kentang goreng dan sos cili. Rasa ayamnya sama seperti kebanyakan chicken chop yang lain. Apa yang menarik adalah ia dihidangkan dalam kotak (mungkin senang nak bawa balik kalau tak habis kot). Sosnya pula agak berkrim dan dihidangkan bersama capers.

Chicken parmigiana - RM15
Chicken parmigiana juga seperti chicken chop biasa yang lain, cuma sosnya dilitupi keju. Agak besar berbanding chicken milanese tetapi ayamnya agak terlebih masak.

Suka Sucre
Mungkin inilah tarikan sebenar pengunjung ke sini. Suka Sucre by Fazley, juara masterchef celebriti Malaysia. Macaron, kek, éclair, panna cotta dan bermacam-macam lagi jenis pencuci mulut hasil air tangan beliau. Memandangkan perut kami sudah terlalu penuh untuk diisi lagi, jadi kami membatalkan hasrat untuk memesan dessert. Mungkin lain kali lah kot.

Memandangkan penulis seorang penggemar daging kambing, sebelum pulang kami membungkus set kambing samah (RM8.50) dan juga churros. Set kambing samah ini disertakan bersama nasi (ala-ala nasi ayam) dan juga papadom. Rasa kambing samah di The Sumbs adalah lebih kepada kari di mana daging kambingnya agak lembut serta kurang bau hamis.

Churros pula jika terasa ingin membawa pulang, sejujurnya penulis menasihatkan agar lebih baik ia dimakan terus kerana apabila ia sudah sejuk, rasanya menjadi seakan-akan rasa cakoi.

Jadi, jika anda berada di Shah Alam dan mahukan makanan barat atau tempatan yang murah serta mengenyangkan, The Sumbs adalah tempatnya. Untuk makluman, makanan di sini tidak dikenakan sebarang tax. Terdapat juga kemudahan surau di tingkat 4 bangunan yang sama.

Monday, 17 November 2014

Take a Break : Sandakan

Pada tahun 2013, penulis merancang bersama-sama isteri untuk bercuti ke Sabah. Setelah pelbagai rancangan dan perbincangan dilakukan, kami memilih untuk ke Sandakan.

Mungkin ramai yang bertanya, mengapa tidak ke Kota Kinabalu? Jawapannya kerana kami ingin bercuti di suatu tempat yang jauh dari kesibukan bandar. Kenapa tidak ke Kundasang atau Ranau pula? Memang itu sebenarnya pilihan utama kami tapi disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan, mungkin belum rezeki kami ke sana nampaknya.

Terdapat desas-desus mengenai keadaan di Lahad Datu ketika itu, namun setelah mendapatkan kepastian dari rakan penulis yang bekerja di sana, akhirnya pada penghujung tahun 2013, kami pun terbang ke Sandakan.

Tujuan kami bercuti kali ini adalah untuk berehat sambil menenangkan fikiran dan juga, mencari makanan laut yang sedap! Sabah memang terkenal dengan hasil lautnya tetapi jika inginkan makanan laut yang betul-betul segar, Sandakanlah tempatnya.

Di Sandakan, kami menginap di Swiss Inn Hotel. Perjalanan dari lapangan terbang Sandakan cuma memakan masa kurang setengah jam sahaja. Lokasinya betul-betul terletak bersebelahan Harbour Mall.

Terletak berhampiran Harbour Mall

Betul-betul menghadap laut
Pemandangan hotel di waktu malam.
Swiss Inn Waterfront Hotel

Di Sandakan, antara restoran makanan laut yang terkenal ialah Ocean King. Kunjungan kami ke sana mendapati bahawa restoran ini turut menyediakan minuman keras untuk pelanggannya dan secara tidak langsung kami berasa was-was terhadap kualiti halal di restoran ini. Lalu kami meneruskan perjalanan mencari restoran makanan laut lain yang halal.

Kami cuba bertanya kepada beberapa orang tempatan mengenai restoran makanan laut halal dan akhirnya kami berjaya mendapat jawapan yang dicari. Restoran Ocean Seafood Kak Jue menjadi pilihan kami untuk makan malam kami hari itu.

Restoran Ocean Seafood Kak Jue
Terletak tidak jauh dari lapangan terbang Sandakan, restoran ini memulakan operasinya seawal tengah hari lagi. Untuk pengetahuan umum, waktu di Sabah awal lebih kurang satu jam dari Semenanjung. Kiranya kalau di sini waktu maghribnya dalam jam 6 ke 6.30 petang. Jadi setibanya kami di sini dalam jam 7 malam pun sudah agak gelap.

Menu pertama yang kami cuba pada malam itu ialah ketam masak kungpao. Itu pun atas cadangan pekerja di situ mengatakan masakan kungpao adalah masakan yang paling banyak dicuba. Masakannya ala-ala macam masak bercili tetapi lebih sedap. Tidak rugi mencubanya. Kami agak terkejut juga kerana terus dihidangkan dengan pembuka selera buah-buahan dan kekcacang (mungkin takut tunggu lama agaknya).

Pembuka selera pada malam itu
Ketam masak kungpao. Super sedap!
Kupang with garlic sauce

Untuk minuman, isteri memilih nescafe 'madras' walaupun tidak pernah mencubanya. Namun rasanya enak seperti nescafe tarik yang diletakkan ais. Persembahannya pula ala-ala teh 3 layer. Pilihan minuman penulis pula limau asam boi ais.


Nescafe madras (kiri) & air limau asam boi

Secara peribadi makanan di sini memang sangat sedap dan menepati citarasa kami. Makanan lautnya sangat segar, harga yang sangat berpatutan serta layanan pekerjanya yang ramah membuatkan kami sangat berpuas hati dan ingin mencubanya lagi.

Selesai menjamu selera, kami mengambil peluang berjalan-jalan sambil menikmati pemandangan malam di tepi hotel kami menginap.


Keesokan harinya, seawal 7 pagi kami sudah turun bersarapan. Oleh kerana pakej penginapan kami di sini turut menyediakan sarapan percuma secara buffet, jadi tidak perlulah kami keluar lagi untuk mencari makanan pada pagi itu.

Tempat bersarapan

Antara menu sarapan kami


Bersarapan sambil menikmati angin laut. Best!
Makanan yang disediakan untuk sarapan bermula dari jam 6 hingga 10 pagi. Kualiti makanan di sini ok & boleh tahan. Selesai mengisi perut, kami pun bersiar-siar sekitar bandar Sandakan. Hasrat ingin melihat orang utan di Sepilok terpaksa dibatalkan kerana waktu memberi makan cuma 2 kali sehari.

Kami pun mencari tempat lain yang boleh dilawati di sini. Akhirnya kami menemui taman buaya Sandakan atau nama panjangnya Sandakan Crocodile Adventure Land.

Kedatangan kami tepat pada waktunya kerana persembahan bersama buaya baru sahaja bermula. Pelbagai jenis aksi dilakukan  bersama buaya-buaya oleh mereka yang terlatih di sini.

Taman Buaya Sandakan
 
Antara aksi yang mendebarkan
Selesai sahaja persembahan, kami pun terus berkunjung ke Restoran Kak Jue buat kali kedua disebabkan berpuas hati dengan layanan yang terdahulu. Kali ini kami mencuba menu yang berbeza pula.


Limau ais & teh 3 layer


Udang goreng butter

Ketam masak tiga rasa


Hidangan kami. Nyum nyum

Ketam masak tiga rasa yang dihidangkan agak sedap juga rasanya. Tapi secara jujurnya, masakan ketam kungpao adalah lebih terangkat dari ketam tiga rasa yang kami makan semalam. Udang goreng butter memang sedap dan agak besar portionnya untuk dua orang makan. Sayur itu tidak diketahui namanya tetapi rasanya juga sedap.



Sarapan yok!

Menu sarapan memang tidak mengecewakan
Selesai sahaja bersarapan, kami terus ke Pasar Umum Sandakan. Di sini terdapat pelbagai jenis barangan sama ada hasil laut yang sudah dikeringkan mahupun cenderhati seperti mutiara yang dijual dengan harga yang sangat murah.

Pasar Umum Sandakan
Perkara pertama yang mengejutkan kami adalah apabila memasuki ke dalam kawasan pasar. Sangat bersih dan tiada sebarang bau mahupun lopak-lopak air seperti kebanyakan pasar di Malaysia. Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan. Jika anda seorang yang suka tawar-menawar, di sinilah tempatnya untuk anda menunjukkan bakat anda.

Kualiti terbaik pada harga termurah
Percutian kali ini lebih kepada bersantai sambil mencari makanan laut segar telah mencapai misinya. Jika ada kelapangan serta bajet , insyaAllah mungkin kami akan kembali lagi ke sini untuk membawa pulang makanan laut segar yang sememangnya disediakan perkhidmatannya di sini. Cadangan penulis, jika ingin membawa pulang hasil laut kering, pilihlah udang keringnya yang boleh dikatakan antara yang terbaik penulis pernah rasa. Pelbagai pilihan, semuanya terpulang pada citarasa masing-masing.

Sandakan Seafood Paradise


Friday, 14 November 2014

Revolution : Part I

Perodua Kelisa yang hendak diceritakan kali ini adalah milik seseorang yang sangat rapat secara peribadi kepada penulis. Perubahan demi perubahan yang dilakukan membuat penulis terpanggil untuk menceritakan kembali sejarah kereta ini. Pelbagai modifikasi telah dilakukan sama ada di bahagian luaran ataupun dalaman kereta ini.

Walaupun pelbagai modifikasi telah dilakukan, namun pemiliknya masih belum menunjukkan tanda yang beliau akan berhenti dari terus mengubahsuai kelisa miliknya walaupun acapkali terdengar ayat beliau 'ni paling last dah aku modified, pasni aku stop' apabila menyiapkan sesuatu modifikasi.

Pada awalnya, kelisa tahun 2005 ini hanyalah sebuah kereta standard yang hanya mempunyai penambahan skirting di sekelilingnya di mana ia agak tipikal dan bukanlah kehendak peribadi beliau.

Proses modifikasi kereta ini bermula pada awal tahun 2008, apabila beliau mendapat idea modifikasi yang pertama untuk mengacuk bumper hadapan atau dengan kata lainnya menggabungkan dua bumper yang berlainan menjadi satu. Bermacam-macam idea dan pendapat mengenai jenis bumper yang sesuai dipadankan bersama kelisa beliau. Sehinggalah beliau membuat keputusan untuk mengacukkan bumper hadapan asal bersama bumper Daihatsu Mira L502. Hasilnya boleh dikatakan sangat berjaya. Proses mengacuk bumper ini dilakukan di Rawang.

Bumper standard + Mira L502.. Cantik bukan?
Dipadankan bersama rim BSA 14"
Finishing yang kemas

Beralih ke bahagian belakangnya pula, proses modifikasi dilakukan dengan menukar bumper asal kepada bumper Daihatsu Cuore TR. Bumper ini merupakan antara bumper yang paling cantik dalam keluarga cuore.

Bumper belakang Daihatsu Coure TR
Tidak lama selepas itu, bonet belakangnya turut terkena tempias cuore juga di mana bonetnya ditukar kepada bonet cuore TR juga (atau nama lainnya misai kontot).

Dipadankan bersama spoiler berlampu kedai aksesori

Memasuki tahun 2009, pemilik kelisa ini mahukan kereta beliau lain dari yang lain. Setelah berfikir panjang tentang apa lagi kelainan di bahagian hadapan yang patut ditonjolkan, beliau memilih untuk meletakkan grill baharu menggantikan grill lama kelisanya. Dan pilihan beliau, grill Mercedes Benz! Apa yang menarik tentang grill tersebut ialah padanannya yang sesuai serta menjadikan kelisa beliau ala-ala VIP style. Proses pemasangan grill serta mengecat dilakukan di Bandar Bukit Puchong.
 
Menggunakan rim watanabe 14"

Sistem audio kereta ini dipertingkatkan dengan penggunaan head unit yang diambil dari Perodua Myvi SE (yang ketika itu mempunyai slot USB), component set dari jenama Mohawk, power amp 4 channel disambung terus kepada woofer 10" Mohawk. Melengkapkan sistem audio kereta ini ialah speaker carrozeria tiang gol (rare ni..). Pemasangan sistem audio ini dilakukan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam.
 

Sistem ekzos turut dipertingkatkan

Setelah beberapa bulan menggunakan grill baru, pemilik merasakan bahawa kelisanya terlalu ke arah VIP style dan tidak berapa meminatinya. Lantas tidak lama selepas itu beliau menyalin keseluruhan bahagian luaran kelisanya kepada Daihatsu Cuore TR. Tidak dapat dinafikan harga untuk bodypart cuore TR agak mahal (sehingga ke hari ini) termasuk spoilernya yang agak rare (dan juga mahal).


Sportrim ditukar kepada BBS (ori) 15"
 
Cuore TR - hadapan (logo D masih belum diletakkan)
 
Cuore TR - belakang. Spotrim diberi warna baru yang lebih segar

Full bodypart Cuore TR

Pada ketika ini, penulis merasakan bahawa kereta ini sudah lengkap dan mungkin tiada apa-apa pengubahsuaian yang diperlukan lagi. Tetapi jangkaan penulis ternyata silap sama sekali. Modifikasi yang diceritakan di atas hanyalah permulaan kepada kisah kelisa ini. Nantikan kesinambungan cerita ini dalam bahagian ke-2 nanti.