Monday, 17 November 2014

Take a Break : Sandakan

Pada tahun 2013, penulis merancang bersama-sama isteri untuk bercuti ke Sabah. Setelah pelbagai rancangan dan perbincangan dilakukan, kami memilih untuk ke Sandakan.

Mungkin ramai yang bertanya, mengapa tidak ke Kota Kinabalu? Jawapannya kerana kami ingin bercuti di suatu tempat yang jauh dari kesibukan bandar. Kenapa tidak ke Kundasang atau Ranau pula? Memang itu sebenarnya pilihan utama kami tapi disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan, mungkin belum rezeki kami ke sana nampaknya.

Terdapat desas-desus mengenai keadaan di Lahad Datu ketika itu, namun setelah mendapatkan kepastian dari rakan penulis yang bekerja di sana, akhirnya pada penghujung tahun 2013, kami pun terbang ke Sandakan.

Tujuan kami bercuti kali ini adalah untuk berehat sambil menenangkan fikiran dan juga, mencari makanan laut yang sedap! Sabah memang terkenal dengan hasil lautnya tetapi jika inginkan makanan laut yang betul-betul segar, Sandakanlah tempatnya.

Di Sandakan, kami menginap di Swiss Inn Hotel. Perjalanan dari lapangan terbang Sandakan cuma memakan masa kurang setengah jam sahaja. Lokasinya betul-betul terletak bersebelahan Harbour Mall.

Terletak berhampiran Harbour Mall

Betul-betul menghadap laut
Pemandangan hotel di waktu malam.
Swiss Inn Waterfront Hotel

Di Sandakan, antara restoran makanan laut yang terkenal ialah Ocean King. Kunjungan kami ke sana mendapati bahawa restoran ini turut menyediakan minuman keras untuk pelanggannya dan secara tidak langsung kami berasa was-was terhadap kualiti halal di restoran ini. Lalu kami meneruskan perjalanan mencari restoran makanan laut lain yang halal.

Kami cuba bertanya kepada beberapa orang tempatan mengenai restoran makanan laut halal dan akhirnya kami berjaya mendapat jawapan yang dicari. Restoran Ocean Seafood Kak Jue menjadi pilihan kami untuk makan malam kami hari itu.

Restoran Ocean Seafood Kak Jue
Terletak tidak jauh dari lapangan terbang Sandakan, restoran ini memulakan operasinya seawal tengah hari lagi. Untuk pengetahuan umum, waktu di Sabah awal lebih kurang satu jam dari Semenanjung. Kiranya kalau di sini waktu maghribnya dalam jam 6 ke 6.30 petang. Jadi setibanya kami di sini dalam jam 7 malam pun sudah agak gelap.

Menu pertama yang kami cuba pada malam itu ialah ketam masak kungpao. Itu pun atas cadangan pekerja di situ mengatakan masakan kungpao adalah masakan yang paling banyak dicuba. Masakannya ala-ala macam masak bercili tetapi lebih sedap. Tidak rugi mencubanya. Kami agak terkejut juga kerana terus dihidangkan dengan pembuka selera buah-buahan dan kekcacang (mungkin takut tunggu lama agaknya).

Pembuka selera pada malam itu
Ketam masak kungpao. Super sedap!
Kupang with garlic sauce

Untuk minuman, isteri memilih nescafe 'madras' walaupun tidak pernah mencubanya. Namun rasanya enak seperti nescafe tarik yang diletakkan ais. Persembahannya pula ala-ala teh 3 layer. Pilihan minuman penulis pula limau asam boi ais.


Nescafe madras (kiri) & air limau asam boi

Secara peribadi makanan di sini memang sangat sedap dan menepati citarasa kami. Makanan lautnya sangat segar, harga yang sangat berpatutan serta layanan pekerjanya yang ramah membuatkan kami sangat berpuas hati dan ingin mencubanya lagi.

Selesai menjamu selera, kami mengambil peluang berjalan-jalan sambil menikmati pemandangan malam di tepi hotel kami menginap.


Keesokan harinya, seawal 7 pagi kami sudah turun bersarapan. Oleh kerana pakej penginapan kami di sini turut menyediakan sarapan percuma secara buffet, jadi tidak perlulah kami keluar lagi untuk mencari makanan pada pagi itu.

Tempat bersarapan

Antara menu sarapan kami


Bersarapan sambil menikmati angin laut. Best!
Makanan yang disediakan untuk sarapan bermula dari jam 6 hingga 10 pagi. Kualiti makanan di sini ok & boleh tahan. Selesai mengisi perut, kami pun bersiar-siar sekitar bandar Sandakan. Hasrat ingin melihat orang utan di Sepilok terpaksa dibatalkan kerana waktu memberi makan cuma 2 kali sehari.

Kami pun mencari tempat lain yang boleh dilawati di sini. Akhirnya kami menemui taman buaya Sandakan atau nama panjangnya Sandakan Crocodile Adventure Land.

Kedatangan kami tepat pada waktunya kerana persembahan bersama buaya baru sahaja bermula. Pelbagai jenis aksi dilakukan  bersama buaya-buaya oleh mereka yang terlatih di sini.

Taman Buaya Sandakan
 
Antara aksi yang mendebarkan
Selesai sahaja persembahan, kami pun terus berkunjung ke Restoran Kak Jue buat kali kedua disebabkan berpuas hati dengan layanan yang terdahulu. Kali ini kami mencuba menu yang berbeza pula.


Limau ais & teh 3 layer


Udang goreng butter

Ketam masak tiga rasa


Hidangan kami. Nyum nyum

Ketam masak tiga rasa yang dihidangkan agak sedap juga rasanya. Tapi secara jujurnya, masakan ketam kungpao adalah lebih terangkat dari ketam tiga rasa yang kami makan semalam. Udang goreng butter memang sedap dan agak besar portionnya untuk dua orang makan. Sayur itu tidak diketahui namanya tetapi rasanya juga sedap.



Sarapan yok!

Menu sarapan memang tidak mengecewakan
Selesai sahaja bersarapan, kami terus ke Pasar Umum Sandakan. Di sini terdapat pelbagai jenis barangan sama ada hasil laut yang sudah dikeringkan mahupun cenderhati seperti mutiara yang dijual dengan harga yang sangat murah.

Pasar Umum Sandakan
Perkara pertama yang mengejutkan kami adalah apabila memasuki ke dalam kawasan pasar. Sangat bersih dan tiada sebarang bau mahupun lopak-lopak air seperti kebanyakan pasar di Malaysia. Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan. Jika anda seorang yang suka tawar-menawar, di sinilah tempatnya untuk anda menunjukkan bakat anda.

Kualiti terbaik pada harga termurah
Percutian kali ini lebih kepada bersantai sambil mencari makanan laut segar telah mencapai misinya. Jika ada kelapangan serta bajet , insyaAllah mungkin kami akan kembali lagi ke sini untuk membawa pulang makanan laut segar yang sememangnya disediakan perkhidmatannya di sini. Cadangan penulis, jika ingin membawa pulang hasil laut kering, pilihlah udang keringnya yang boleh dikatakan antara yang terbaik penulis pernah rasa. Pelbagai pilihan, semuanya terpulang pada citarasa masing-masing.

Sandakan Seafood Paradise


No comments:

Post a Comment