Friday, 14 November 2014

Muka Baru motoGP 2015

Setelah berakhirnya musim motogp untuk tahun ini, maka semua pasukan telah mengadakan sesi ujian bersama penunggang terbaru mereka. Ada yang masih kekal & ada yang menampilkan muka-muka baru.

Antara muka baru dalam motogp yang paling menarik perhatian ialah Jack Miller. Berusia 19 tahun, pelumba kelahiran Australia ini telah pun menunjukkan prestasi cemerlang untuk tahun 2014. Beliau menduduki tempat ke-2 keseluruhan, dibezakan hanya 2 mata di belakang juara moto3 2014, Alex Marquez. Tapi yang pasti, dua perlumbaan terakhir kategori moto3 tahun ini memang epik.

Persoalannya adakah beliau mampu menyesuaikan diri dengan jentera motogp kerana kebanyakan atau boleh dikatakan hampir kesemua pelumba moto3 akan menyertai kategori moto2 dahulu sebelum beralih ke motogp. Sama-sama kita nantikan. Pasti menarik.

Perhatikan tayar belakang Jack Miller (gambar ihsan motogp.com)

Pemenang tempat ke-3 moto2, Maverick Vinales pula akan menyertai motogp bersama pasukan Suzuki, juga pasukan yang baru kembali menyertai motogp selepas 3 tahun. Pelumba kelahiran Sepanyol berumur 19 tahun itu berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada musim pertamanya dalam kategori moto2.


Gaya kaki Maverick Vinales ala-ala Rossi (gambar ihsan motogp.com)

Selain dari kategori moto2 dan moto3, terdapat juga pelumba baru yang akan menyertai motogp nanti adalah dari Kejohanan Superbike Dunia (World Superbike Championship - WSBK). Mereka adalah Loriz Baz & Eugene Laverty.

Loriz Baz, seorang pelumba tinggi lampai yang lahir dari WSBK juga akan menyertai motogp untuk musim 2015. Berumur 21 tahun, pelumba yang berasal dari Perancis ini telah menamatkan saingan di tempat ke-5 keseluruhan dalam WSBK untuk tahun 2014. Biarpun terdapat kes di mana beliau melanggar arahan pasukan supaya memberi laluan rakan sepasukannya Tom Sykes, tapi kita tidak boleh menyalahkan beliau 100% kerana setiap orang ada pendapatnya yang tersendiri. Apa-apa pun kita nantikan kemunculannya untuk musim 2015.

Loriz Baz akan bersama NGM Forward Yamaha (gambar ihsan motogp.com)

Akhir sekali, Eugene Laverty. Berumur 28 tahun, pelumba Ireland Utara ini berada di kedudukan ke-10 keseluruhan pada WSBK 2014. Sebelum itu, pada tahun 2013 beliau telah mendapat tempat ke-2 keseluruhan, di mana pada tahun itu beliau telah mempamerkan tunggangan yang cemerlang bersama pasukan Aprilia.

Eugene Laverty menunggang jentera Drive M7 Aspar Honda (gambar ihsan motogp.com)


Jadi, siapakah pelumba baru yang perlu diberi perhatian kali ini? Sama-sama kita nantikan motogp untuk musim 2015. Tidak ketinggalan, pelumba-pelumba sedia ada yang telah pun berpindah ke pasukan baru perlu juga diperhatikan.

No comments:

Post a Comment